ANDA BOLEH IKLAN APAN SAHAJA BIZ, JAWATAN KOSONG, DAN APA SAJA KAT SINI

NAHAS NURI

|

18 nahas Nuri sejak diguna
Jul 18th, 2007 by MATSKAI

KUALA LUMPUR: Nahas helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbaru Jumaat lalu adalah nahas ke-18 sejak helikopter itu digunakan 39 tahun lalu.
Kebanyakan nahas yang membabitkan pesawat yang diiktiraf di dunia sebagai antara yang paling selamat itu berpunca daripada faktor cuaca buruk.
Siasatan awal TUDM terhadap kejadian terbaru seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mendapati cuaca buruk menjadi penyumbang kepada kejadian nahas helikopter Nuri itu, yang menyaksikan enam anggota TUDM terkorban selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui bangkai pesawat itu berhampiran Genting Sempah dekat Genting Highlands.
Bangkai pesawat itu ditemui pada hari kelima operasi SAR selepas ia dilaporkan hilang kira-kira jam 9.35 pagi, 10 minit selepas ia meninggalkan Pangkalan Udara TUDM menuju ke Kuantan Jumaat lalu.
Dengan kejadian terbaru itu, sehingga kini sebanyak 95 kematian dicatatkan membabitkan 18 nahas atau pendaratan cemas Nuri di negara ini.
Berdasarkan catatan operasi Nuri milik TUDM itu di negara ini, sejarah nahas terburuk membabitkan pesawat itu berlaku pada 14 November 1989 apabila 21 termasuk 15 anggota Pasukan Polis Hutan terbunuh selepas helikopter itu terhempas antara Gunung Gerah dan Gunung Bilah di sempadan Kelantan-Perak.
Selain itu, antara nahas Nuri yang sering diingati berlaku pada 18 Disember 1989 apabila 16 anggota Tentera Darat dan TUDM termasuk Pegawai Pemerintah Markas Divisyen Dua, Mej Jen Datuk Mustaffa Awang dan Pemerintah Briged Ketiga Infantri Brig Jen Datuk Hasbullah Yusoff terbunuh apabila helikopter itu terhempas berhampiran Sungai Lundu, Sarawak.
Kerajaan Malaysia dilaporkan membeli 40 pesawat Nuri atau dikenali sebagai Sikorsky S61 Sea King pada 1968 daripada Sikorsky Aircraft Corporation, Amerika Syarikat yang berperanan pada peringkat awal memberi bantuan logistik kepada Tentera Darat sebelum diperluaskan untuk operasi mencari, menyelamat dan bantuan kemanusiaan.
Helikopter Nuri itu, yang mula diperkenalkan di persada antarabangsa ketika Perang Vietnam yang berakhir pada 1975, menggunakan dua enjin General Electric berkuasa kuda 15,000 mempunyai kelajuan maksimum 220 km sejam.
Helikopter pelbagai guna seberat 3,652 kilogram itu mempunyai kemampuan membawa 21 penumpang termasuk tiga anak kapal.
Berikutan desakan pelbagai pihak supaya khidmat helikopter itu dihentikan selepas beberapa nahas udara, pada 3 Oktober 2004 TUDM pernah bercadang menukar helikopter Nuri yang berharga antara RM76 juta dan RM95 juta dengan pesawat baru yang lebih moden dan setanding dengannya pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Bagaimanapun rancangan itu terpaksa ditunda pada tahun lalu dengan alasan “masalah kewangan dan keutamaan perbelanjaan lain”.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudian merancang untuk menggantikan helikopter itu yang diharapkan dapat dilaksanakan di bawah RMK-10.
Pada masa ini terdapat 30 helikopter Nuri yang masih beroperasi di negara ini dengan 28 unit digunakan untuk operasi pelbagai guna dan dua untuk tujuan tata rajah komunikasi.
Pada November tahun lalu, Kementerian Pertahanan mengumumkan menandatangani kontrak RM55.8 juta dengan pusat penyelenggaraan pesawat udara tempatan Airod Sdn Bhd bagi menaik taraf pesawat itu dengan memasang sistem ‘Autohover’ pada enam helikopter Nuri itu.

0 Komen:

Catat Ulasan

Testimoni Biodisc

BOIKOT YAHUDI

BOIKOT YAHUDI

E-Jariah Mudah dan hebat

contact me

My Social : http://matskai.ning.com

 

©2009  Financial Freedom | Template Blue by TNB