ANDA BOLEH IKLAN APAN SAHAJA BIZ, JAWATAN KOSONG, DAN APA SAJA KAT SINI

KOC3402 - ASAS STRATEGI KOMUNIKASI ( Ulasan Filem )

|

Ulasan Filem
Judul : Soal Hati
Tahun : 2000
Pengarah : Othman Hafsham
Skrip : Habsah Hassan
Pelakon : Erra Fazira, Afdlin Shauki, Anuar Zain, Shamsul Ghau Ghau, Khatijah Tan, Zaibo, Chef Wan dan lain-lain
Pengulas : Muhammad Bin Abdullah (J33744)
Latar Belakang Filem
Erra Fazira menjadi jurujual di sebuah pusat membeli belah, kemudian dia terpaksa mengambil kelas malam untuk lulus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan pada masa yang sama, membantu ibu saudaranya dalam perniagaan produk jualan langsung.
Bersama imej gadis kampung yang datang ke kota dan menumpang rumah orang, Erra digambarkan sebagai gadis agak mentah dalam kehidupan kota tetapi matang dari segi prinsip diri.
Dia ingin berjaya dalam kehidupannya, mahu berubah masa depan dan membuktikan anak kampung sepertinya ada keazaman tinggi, tegas dan tidak tunduk pada desakan nafsu.
Imej watak Erra dalam filem Soal Hati nyata agak berbeza jika dibandingkan dengan coraknya dalam filem arahan Yusof Haslam, iaitu lebih kepada gadis kota hidup mewah, model dan polis.
Penampilannya berubah dari segi fizikal yang mengangkat watak Nurul Ain sebagai gadis lemah lembut, bersopan, gigih dan tegas. Namun, jika dihayati gaya lakonan Erra, sebenarnya tidak banyak berubah berbanding filem terdahulu berdasarkan cara dia berkomunikasi dengan watak lain, permainan air muka, rias wajah, cara pergerakan dan intonasi suara.
Perkembangan wataknya dibangunkan dengan baik dan masih mampu mengungkap latar belakangnya yang kelihatan matang tetapi nyata masih belum cerdik. Dalam keegoannya ‘menjual mahal’ apabila dipikat orang lain, dia tiba-tiba boleh tunduk dengan mudah dengan cara Daniel (lakonan Afdlin Shauki) memikatnya.
Kebodohan Nurul Ain jelas ketika dia meradang dan sedih apabila Daniel menyamar sebagai pemuda miskin sedangkan dia kaya. Peliknya, kenapa dia marahkan Daniel sebab lelaki itu ‘jujur’ kerana mahu memikatnya. Jika dia memikat secara gaya hidup mewah sudah tentu memperlihat Nurul Ain sukar menerimanya kerana ia satu kejutan atau dia kelak dituduh mata duitan.
Dalam kesabaran dan kegigihannya itu, ternyata apabila dia menerima godaan cinta, dia mudah tewas. Ini membuktikan jiwa Nurul Ain masih lemah biarpun pada awal dan pertengahan babak ditunjukkan dia sanggup belajar malam dan mencari kerja di kota. Contohnya, Nurul Ain sanggup keluar dari rumah ibu saudaranya dan mahu balik ke kampung selepas mengetahui siapa sebenarnya Daniel.
Barangkali skrip yang ditulis Habsah Hassan ingin menghuraikan itulah persoalan jiwa dan perasaan gadis yang pertama kali jatuh cinta, sesuai dengan judulnya – Soal Hati. Nampaknya, dari aspek ini, Habsah berjaya menyampaikan maksud judul filem itu dengan baik. Namun, ia kurang dramatik untuk membangkitkan simpati pada Nurul Ain.
Lakonan Erra juga tidak menyerlah dari segi komedi. Watak Nurul Ain kelihatan lucu secara kasar saja selepas dia banyak dijanakan komedi berkesan yang disampaikan Afdlin.
Dari sini, kelemahan komedi Erra dihidupkan dengan mood lakonan Afdlin, sekali gus menghidupkan cerita yang membolehkan penonton ketawa ketika mengikuti naratif filem ini.
Soal Hati mula menemui penonton sejak 28 September 2000 lalu. Selain Erra dan Afdlin, turut beraksi ialah Zaibo, Khatijah Tan, Anuar Zain, Pie, Chef Wan, Shamshul Ghau Ghau, Linda Onn, Rubiah Suparman, Noor Azizah, Najihah Azlisham dan Sathiya serta pelakon dari Filipina, Sharmaine Arnaz.


Tema dan Persoalan serta penekanan pengarah.
Dalam corak ringan, bersahaja dan ringkas, filem ini bergerak dengan mudah yang agak berjaya menghuraikan temanya. Ia dianggap memenuhi selera kebanyakan penonton semasa yang meminati corak komedi.
Ceritanya cuba mengangkat imej wanita yang sanggup bersusah payah memperbaiki kehidupan tetapi pada masa yang sama seolah-olah memperli kalangan lelaki muda kerana masih sukakan wanita cantik sebagai pilihan hati. Ini berlaku pada watak yang dibawa Shamshul dan Anuar. Malah, Daniel terpikat pada Nurul Ain kerana tertarik pada paras rupanya.
Begitu juga watak Shamshul dan Anuar, juga kelihatan terpikat pada Nurul Ain kerana wajahnya.
Jika mahu memperlihat mereka terpikat kerana pendirian atau sikap Nurul Ain, ia kurang berjaya disampaikan dengan baik.
Ini kerana, jika melihat Nurul Ain sekali lalu, tidak ada apa yang boleh dibanggakan, selain wajahnya yang lembut dan bentuk badan menarik.
Sekalipun dalam imej komedi romantik, Soal Hati masih mampu menyelitkan persoalan nilai dan menyentuh aspek berkaitan perkembangan sosial remaja kini iaitu semakin lupa mengenai sembahyang, membaca al-Quran, persilatan Melayu, hubungan bersama orang tua dan pengisian hidup positif. Ia turut menggambarkan sekilas mengenai lelaki di ibu kota yang seolah-olah suka bergaya lembut seperti perempuan (lakonan Chef Wan).
Namun, dramatik dan konflik dalam Soal Hati tidak berlaku dengan baik. Ia dipaparkan secara agak klise kerana mudah diselesaikan iaitu simpati selepas kemalangan jalan raya. Sewajarnya bahagian ini harus ditunjukkan dengan teliti dan cukup menyentuh hati selepas babak Nurul Ain berkonflik dengan Daniel.
Mesej Utama
Berdasarkan tema yang hendak disampaikan, filem ini cuba membawa penonton ke arah penghayatan nilai perhubungan sosial secara lebih bermakna dengan penonjolan krisis-krisis komedi bersahaja. Setiap plot cerita menunjukan unsur komedi yang kaya dengan pengajarannya. Contoh yang paling jelas ialah adengan tabiat Pak Lang yang suka korek hidung sebagai mana dialognya; “Mak Lang - "Korek le hidung tu.. nanti lama-lama dia besar"
Pak Lang - "Ooo.. rumah besaq, kereta besaq, pangkat besaq.. mau! Hidung besaq.. komplen! Puii!!"
Mak Lang - "Aii.. sensitif pulak orang tua ni. Tegur tak boleh, pandang tak boleh.. nak kata 'datang bulan' . Sikap wanita yang tegas juga banyak ditonjolkan melalui watak Nurul Ain. Sebagai contohnya, adengan semasa dalam bas, Nurul Ain dengan lantang menyuarakan tentang sikap negetif seorang penumpang bas. Antara dialognya ialah; “Ain - "Minta perhatian semua, khususnya kaum wanita. Sila berhati-hati dengan lelaki kat sebelah saya ni.. dia ni kuat meraba, gatal, biadap dan tak menghormati wanita. Dia ni juga pesakit jiwa yang baru terlepas dari hospital. Eh, penyakit awak ni dah kronik, tahu tak? Pergi jumpa doktor cepatlah!".
Manusia yang berubah dari tabiat buruk kepada kebaikkan, ini jelas ingin ditonjolkan oleh pengarah dengan adanya persoalan apabila Daniel mula tidak menyukai tabiat mempermainkan wanita setelah mengenali Nurul Ain sebagai contoh pada dialognya; “Daniel - "Aa.. ada apa-apa lagi?"
Soraya - "Oh.. ya, Tania call. Dah berapa banyak kali dah dia call. Yang peliknya bos.. macam mana dia tahu yang bos nak ke overseas, dia siap tinggalkan list barang lagi"
Daniel - "Soraya.. mulai dari sekarang, awak jangan lagi nak layan perangai perempuan-perempuan ni semua, kan? Awak tak ada kerja lain ke, ha? Awak tak boleh buat benda-benda yang lebih produktif? Awak nak jawab talipon dia orang 'Err.. awak, awak nak apa? Err.. nak ini, nak ini..'. Tak boleh buat benda lain ke? Kan? Nanti siapa yang marah awak? Saya juga yang marah awak. Siapa yang kena buang kerja? Awak juga yang kena buang kerja. Okay? Jangan layan dia orang lagi.. kalau dia orang call lagi, cakap saya dah mati"
Soraya - "Ye ke ni bos..? Macam tak percaya je.."
Daniel - "Soraya.. setiap hari, setiap masa.. hidup orang akan berubah, kan? Ulat bulu pun satu hari akan jadi kupu-kupu.. rama-rama, kan? Hidup manusia ni sentiasa berubah Soraya.. ha? Ingat tu pesanan saya. Pergi betul mekap sekarang".
Terdapat juga mesej sampingan seperti isu beg berat bagi kanak-kanak sekolah. Isu ini dinyatakan melalui sindiran PakLang kepada anaknya Izan berdasarkan dialognya; “Izan - "Abah, Izan nak pergi sekolah" Pak Lang - "Haih.. sampai rebeh bahu. Hang ni bawak buku ka bawak batu?" Izan - "Mestilah bawa buku... abah nii.."
Nilai Kemanusian
Perkara paling jelas yang ingin ditekan dalam filem ini ialah mengenai sifat kasih sayang melalui pencintaan. Walaupun Daniel seorang yang serba mewah serta berkemampuan. Tetapi beliau dapat mengenali antara kasih sayang yang sebenarnya. Dalam mengejar matlamatnya untuk memikat Nurul Ain, beliau sanggup meletakkan tarafnya pada tahap yang lebih rendah semata-mata mencari kejujuran.
Nilai kejujuran adalah antara yang paling ditekankan. Habsah Hassan sebagai penulis menonjolkan watak Nurul Ain sebagai wanita yang mahu mempertahankan kejujuran dalam perhubungan dan sebagai seorang "heroin" yang mampu menewaskan seorang romeo sehebat Ahmad Danial yang telah sekian lama mempermainkan wanita.

Manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mencari dan mengejar matlamatnya seperti daniel. Lelaki ini sanggup melakukan apa sahaja, menyamar dan dipukul semata-mata untuk memenangi hati gadis dari kampung yang tentunya cantik, lembut dan kelihatan jujur.

Sikap liberal yang ada pada ibu Daniel, Dia mempunyai ramai teman wanita, tetapi ibunya masih mahukan dia mencari wanita yang sesuai dengannya (alangkah liberalnya si ibu).

Watak seseorang yang rajin dan ingin memajukan dirinya, ini jelas apabila Pada sebelah malam selepas bekerja Nurul menghadiri kelas malam untuk memajukan lagi dirinya.

Terdapat juga banyak nilai murni pada watak-watak lain seperti Zaibo yang sangat setia pada tuannya, Pak Lang yang amat mengambil berat pada anak saudaranya dan rakan-rakan Nurul Ain yang banyak membantu.

Perlambangan Komunikasi

Penonjolan watak-watak banyak dipengaruhi oleh cara mereka berkomunikasi. Watak komedi banyak disokong oleh cara berkomunikasi yang disokong oleh mimik muka, sebagai contoh komunikasi ini banyak wujud dalam watak Pak Lang dan Zaibo. Kita sebagai penonton dapat mengenali keadaan persaan seseorang watak berdasarkan raut wajah mereka. Dalam filem ini banyak adengan menunjukan plot yang menekankan perasaan.

Teori Penembusan Sosial banyak terdapat dalam watak Daniel. Dia berkenalan dengan Nurul Ain melalui peringkat dan kepercayaan. Pada peringkat awal Nurul Ain tidak banyak menonjolkan sikap-sikapnya, setelah beberapa lama mengenali Daniel, Nurul Ain sudah mula berani mengajak Daniel mengenali kampungnya.

Komunikasi mendatar (horinzontal) banyak berlaku semasa Daniel di pejabat atau semasa aktiviti seharianya. Keadaan ini menunjukan Daniel seorang yang bersikap terbuka dalam segala hal.

Komunikasi Verbal dan Bukan Verbal, banyak berlaku dalam sorotan filem ini. Penggunaan kata dan surat menunjukkan komunikasi ini berkesan dalam menjayakan plot cerita. Diolog yang digunakan adalah banyak mengunakan dialek Utara. Kebanyakan orang menonjolkan komunikasi bukan verbal sepeti mimik wajah, gerakan anggota badan, rupa dan gerak-geri bagi menguatkan lagi maksud yang hendak disampaikan dalam sesuatu watak.

Perlambangan pakaian juga digunakan dalam filem ini. Daniel telah menukar pakaian daripada berpakaian kemas (imej korporat) kepada pakaian biasa semata-mata ingin menonjolkan imej sebagai golongan biasa. Daniel telah menukar gambaran kedudukan sosial dan latarbelakang daripada dikenali oleh Nurul Ain.Tujuan komunikasi ini adalah untuk mencari kejujuran pada Nurul Ain.

Kesimpulan

Berdasarkan ulasan yang diberikan, filem ini telah diletakkan sebagai satu filem yang dapat memberi tauladan, kemahiran, dapatan konsep berkomunikasi. Sejajar dengan minat rakyat malaysia kepada komedi, adalah bersesuaian pihak pengarah memuatkan unsur pengajaran, tema dan persoalan yang memberi kesan mendalam pada masyarakat. Setiap filem yang dihasilkan mampu untuk diketengahkan apabila setiap kriteria didalamnya mampu untuk diterima oleh penonton.

Rujukan

Filem Soal Hati, Pengarah Afdlin Shauki ( 2000 )

Pengenalan Teori Komunikasi, Narimah Ismail PhD 2004 Universiti Putra Malaysia.

Pengenalan Komunikasi Massa, Dr Megat Al Imran 2004, Universiti Putra Malaysia.

Rujukan Internet
Laman Filem Melayu 2003
http://www.geocities.com/filemelayu/ulasan/soal_hati2.html

Laman Filem Malaysia 2005
http://www.filemkita.com/filem/s/soal_hati_01.html

Laman Portal Ilmu Kementerian Penerangan Malaysia
http://www.filemkita.com/filem/s/soal_hati_01.html

0 Komen:

Catat Ulasan

Testimoni Biodisc

BOIKOT YAHUDI

BOIKOT YAHUDI

E-Jariah Mudah dan hebat

contact me

My Social : http://matskai.ning.com

 

©2009  Financial Freedom | Template Blue by TNB