ANDA BOLEH IKLAN APAN SAHAJA BIZ, JAWATAN KOSONG, DAN APA SAJA KAT SINI

Memaparkan catatan dengan label Assingment. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Assingment. Papar semua catatan

Konflik Rumah tangga -sejauh manakah anda mampu hadapinya

|

1) PENDAHULUAN

Setiap individu yang berkahwin mengimpikan satu kehidupan yang bahagia kerana rumahtangga yang bahagia menjadikan penghuni-penghuninya dapat hidup dalam suasana tenang, harmoni dan selesa. Setiap anggota keluarganya saling kasih mengasihi, hormat menghormati dan menjalankan aktiviti-aktiviti rumahtangga dengan penuh kerelaan. Perjalanan hidup sebuah keluarga bahagia didasarkan di atas prinsip saling menjaga dan mengambil berat di antara satu sama lin, sentiasa memberi sokongan semasa menghadapi konflik dan penyelesaian permasalahan. Selain daripada itu, setiap suami isteri dapat meningkatkan lagi potensi diri dan membina hubungan erat dengan orang lain. Di dalam menjalani kehidupan, mereka sentiasa sensitive dengan perubahan serta berupaya menyesuaikan dirinya.

Kebahagiaan hidup sebuah keluarga banyak bergantung kepada persefahaman di dalam menjalinkan perhubungan suami isteri. Kegagalan mereka untuk berbuat demikian akan melahirkan ketegangan dan konflik. Oleh itu tidak mustahil jika dikatakan bahawa krisis adalah suatu perkara lumrah di dalam sebuah rumahtangga walau bagaimana harmoni kehidupan rumahtangga tersebut. Keadaan ini hanya boleh dapat diatasi dengan kebijaksanaan suami dan sokonan daripada isteri yang pengasih.


2) PENGERTIAN KONFLIK RUMAHTANGGA

Merupakan satu keadaan di mana kehidupan suami isteri sentiasa berada di dalam suasana yang tidak harmoni dan berkonflik. Suami isteri saling benci membenci di antara satu sama lain.


Krisis rumahtangga boleh di dapati di dalam keadaan-keadaan :


1. Jelas / Ketara : iaitu suami isteri mudah bertengkar, saling tuduh menuduh, maki hamun dan cepat bercekalan sebaik-baik sahaja dan sesuatu yang tidak kena.


2. Tidak jelas : di mana perselisihan suami isteri tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan mereka kelihatan rukun dan damai tetapi sebenarnya kehidupan mereka hambar tidak mesra dan perhubungan yang renggang. Keadaan rumahtangga yang sedemikian selalunya memberi kesan yang mendalam terhadap pertumbuhan jiwa anak-anak.


3) TAHAP-TAHAP KONFLIK DALAM RUMAHTANGGA


Krisis dalam rumahtangga selalunya mengambil masa yang panjang untuk sampai kepada kemuncaknya. Dalam jangka masa yang sama ini dapat dilihat tahap demi tahap berlaku dan suasana menjadi semakin genting jika salah satu pihak / keduanya tidak mengambil sesuatu inisiatif untuk membendongnya. Di antara tahap-tahap atau petanda berlaku krisis di dalam rumahtangga ialah ;


i. Penurunan tahap aktiviti :


Selalu suami atau isteri tidak lagi seaktif biasa, kerja-kerja atau tanggungjawabnya tidak dilaksanakan dengan sempurna, suka termenung dan berfikir.


ii. Tidak dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan semua ahli keluarga


Suami isteri tidak boleh merempati dan saling menghormati di antara satu sama lain.


Selalunya mereka akan menhadkan masa untuk berinteraksi seminima yang boleh ataupun hanya sekadar perlu sahaja. Nada suara akan turut berubah, kian menurun atau kerap gunakan bahasa yang kasar dan kesat. Di samping suka menggunakan kata-kata sindiran ataupun perli.


iii. Seringkali menunjukkan tingkahlaku permusuhan terhadap pasangannya


Suami atau isteri saling tuduh menuduh bahawa pasangannya adalah sumber kebosanan atau penderitaan yang dialaminya dan pasangannya juga yang sering menjadi sasaran kemarahan serta suka menentang apa-apa cadangan atau tindakan pasangan.


iv. Kurang keupayaan mengawal emosi sendiri


Di dalam keadaan ini kerap terjadi ketegangan emosi, suka menengking ahli keluarga dan selalu menimbulkan ketegangan dalam perhubungan keluarga.


v. Selalu mengasingkan diri


Pada tahap ini suami atau isteri suka mengasingkan diri (boikot). Di antara mereka berdua tidak lagi bertegur sapa dan segala keperluan diuruskan melalui perantaraan ataupun secara 'message' (nota). Mereka selalunya akan tidur berasingan dan kedua-dua pihak dan hakikatnya sudah tidak menjalankan fungsi dan tugas masing-masing walaupun masih tinggal di dalam satu rumah.


vi. Kerap bertengkar


Pertengkaran yang sengit kerap terjadi. Mereka akan bergaduh asal saja bersua muka. Suami isteri sering mencari-cari punca kemarahan pasangan dan segala ketidakpuasan hati diluahkan di samping kata-kata ungkitan. Kadangkala bila kemarahan memuncak akan libatkan masalah keluarga, keturunan dan sebagainya.


vii. Mengambil tindakan yang nekad.


Apabila pergaduhan suami isteri berlaku, kerap kali juga mereka mengambil sesuatu tindakan yang agresif seperti menggunakan kekerasan fizikal terhadap pasangan. Selain daripada itu ada di antara suami isteri yang ambil tindakan keluar rumah atau buat hubungan sulit di luar rumah. Di dalam setengah-setengah keadaan, kedapatan pasangan suami isteri yang berusaha mendapatkan sokongan daripada pihak-pihak lain bagi memperkuatkan (backing) tindakan seperti sokongan ibubapa, saudara mara, kawan-kawan dan sebagainya.


v. Pengaduan


Apabila sesuatu isu yang terjadi di dalam rumahtangga berpanjangan tidak diselesaikan, pihak suami / isteri akan membuat pengaduan kepada pihak-pihak tertentu seperti imam, ketua kampung ataupun ke pejabat agama untuk diambil tindakan sewajarnya terhadap pasangan.


ix. Tuntutan cerai


Kemuncak kepada krisis di antara suami isteri ialah masing-masing akan mengemukakan tuntutan perceraian melalui pejabat Kadi / Mahkamah.


4) KATAGORI KONFLIK RUMAHTANGGA


Krisis rumahtangga boleh berlaku sama ada berpunca daripada pihak suami atau pihak isteri. Oleh itu, kedua-dua pihak yang memainkan peranan dalam mewujudkan sebuah rumahtangga bahagia ataupun menjadikan rumahtangga mereka porak poranda.


1. Krisis yang disebabkan oleh isteri berlaku apabila isteri enggan memenuhi kehendak suami, sering marah, benci serta tidak taat kepada suami. Isteri juga meninggalkan tugas dan kewajipannya serta meninggikan diri serta berlaku curang terhadap suami. Banyak faktor-faktor yang menyebabkan isteri bertindak sedemikian, termasuk faktor pada diri isteri sendiri, suami dan factor-faktor luaran.


a. Faktor diri isteri sendiri meliputi kecantikan diri, kedudukan dan pendidikan.


b. Suami memberi pengaruh yang kuat kepada seorang isteri. Ia meliputi cara pergualan, akhlak dan juga perlaksanaan tanggungjawab. Seringkali hal ini menjadi factor penggerak kepada isteri untuk berfungsi dengan baik di dalam sebuah rumahtangga.


c. Pengaruh luar meliputi rakan atau jiran, media massa dan juga keluarga (mertua, ipar dan sebagainya).


2. Konflik rumahtangga yang berpunca daripada pihak suami terjadi apabila seorang suami bersikap keras, isteri tidak bergaul dengan baik, tidak menjalankan kewajipan terhadap isteri, buat hubungan dengan perempuan lain dan sebagainya.


Di antara faktor-faktor yang mempengaruhi ialah faktor diri dan faktor luaran:-


a. Faktor kepada diri suami sendiri ialah kedudukan, pendidikan dan juga pembawaan diri.


b. Faktor luaran meliputi pergaulan, persekitaran dan keluarga.


5) PUNCA-PUNCA KONFLIK RUMAHTANGGA


Krisis rumahtangga boleh berlaku disebabkan oleh berbagai-bagai faktor. Bagaimanapun ia boleh disimpulkan kepada tiga faktor utama yang membuatkan kegagalan suami isteri untuk bersefahaman dan seterusnya mengakibatkan krisis di dalam rumahtangga.


1. Komunikasi


Kegagalan pasangan suami isteri untuk berkomunikasi dengan berkesan selalunya akan membawa implikasi yang buruk terhadap sesebuah rumahtangga. Komunikasi agresif seringkali terjadi di dalam hubungan suami isteri. Di mana suami isteri memaksa pasangannya menerima sesuatu pendapat. Hal ini kerap menimbulkan reaksi pertelingkahan. Bagaimanapun teknik inilah yang kerap digunakan oleh suami isteri di dalam menyampaikan hasratnya.


Di antara teknik agresif ialah :


a. Paksaan : Memaksa pasangan menerima apa yang dikemukakan dengan menggunakan bahasa yang keras, ugutan dan sebagainya.


b. Menyakinkan : Dengan cara pujuk rayu, berjanji dan sumpah, tujuannya untuk menyakinkan pasangan bahawa untuk kebaikan bersama.


c. Penilaian : Memberi penilaian kepada sesuatu perkara dengan cara merendah-rendahkan pasangan.


d. Melindungi : Tidak menyatakan sesuatu dengan sebenarnya.


e. Menangguhkan : Melengah-lengahkan sesuatu harapan atau permintaan dengan tujuan supaya dilupakan atau sebagai satu dalihan untuk menolak.


f. Menyalahkan orang lain : Berlaku bila seseorang rasa marah dan tidak diketahui sebabnya. Oleh itu, ia mula mencari sasaran untuk melepaskan kemarahan.


2. Tanggungjawab


Pertelingkahan di dalam rumahtangga berlaku bila satu-satu pihak tidak menjalankan kewajipannya dengan sempurna.


Tanggungjawab di dalam rumahtangga meliputi :-


a. Nafkah : Suami tidak disediakan nafkah yang mencukupi kepada anak dan isteri.


b. Tempat tinggal : Tidak menyediakan tempat tinggal yang selesa dan kadang kala tidak menjelaskan sewa dan sebagainya.


c. Kebajikan : Termasuk soal perhatian, kesihatan perubatan, layanan persekolahan anak-anak dan pendidikan kerohanian.


d. Keselamatan : Perlindungan dari segala ancaman luaran dan dalaman.


e. Kasih sayang : Kasih sayang di antara suami isteri perlu sentiasa dipupuk supaya sentiasa mekar dan bersemarak. Jika suami isteri gagal atau tidak berusaha ke arah tersebut ia akan semakin pudar dan berkurangan.


3. Seksual


Seksual di dalam sesebuah perkahwinan merupakan suatu tuntutan biokologikal. Ia juga merupakan terjemahan kepada perasaan cinta dan kasih sayang suami isteri. Oleh itu, hubungan seksual adalah keperluan yang mesti dipatuhi dengan penuh kerelaan di antara suami dan isteri. Kerapkali berlaku krisis rumahtangga bila suami / isteri mengalami masalah seksual seperti :


a. Rendah nafsu atau perbezaan keinginan di antara suami isteri disebabkan oleh penyakit atau kejemuan.


b. Nafsu yang tinggi.


c. Penghindaran seks. Suami isteri sering kali menolak atau mencari helah untuk tidak membuat hubungan seks.


d. Enggan melakukan seks dengan pasangan tetapi dalam masa yang sama berkeinginan untuk melakukannya dengan orang lain.


e. Tidak ada tindakbalas / dingin.


f. Tidak sampai ke kemuncak


g. Keuzuran


h. Ketakutan


i. Takut mengandung


j. Sakit semasa atau selepas melakukan seks.


6) CARA-CARA MENGATASI KONFLIK RUMAHTANGGA


Di dalam sebuah perkahwinan, suami adalah ketua dan pemimpin ke atas semua ahli keluarganya. Hal ini telah disebut dengan jelas oleh Allah SWT di dalam firmannya, yang bermaksud :


"Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan kaum lelaki dengan beberapa keistimewaan di atas kaum perempuan dan kaum lelaki membelanjakan sebahagian daripada hartanya."


(Surah An- Nisa : 4)


Sesuai dengan tanggungjawab dan penghormatan yang begitu tinggi diberikan kepada suami maka beliau berkewajipan untuk mencari jalan bagi mengatasi persoalan-persoalan yang timbul di dalam rumahtangganya, termasuklah bila berlaku krisis dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Di antara tindakan-tindakan yang patut dilakukan oleh suami ialah :


a. Suami hendaklah sentiasa sensitif dengan setiap kejadian di dalam rumahtangga.


b. Suami mesti mengkaji dengan teliti sebab-sebab punca insiden.


c. Sebab-sebab kejadian.


Setelah tindakan tersebut dilakukan dan ternyata ia berpunca daripada pihak suami sendiri maka suami mesti mengakui kesilapannya sendiri, buat perubahan tingkah laku. Selain daripada itu suami mesti melaksanakan ssegala tanggungjawab dengan sempurna dan membentuk kepimpinan pada diri suami sendiri. Di samping segala usaha dilakukan suami mesti berdoa dan bertawakal kepada Allah.


Bagaimanapun jika suami mendapati punca masalah adalah daripada faktor luaran suami mesti melakukan tindakan-tindakan berikut :


1. 1. Menasihati isteri supaya hentikan perbuatan.


2. 2. Suami patut ubah keadaan dalam rumahtangga.


3. 3. Adakan sekatan atau kawalan, jika perlu.


4. 4. Suami patut memberi alternatif-alternatif kepada isteri, supaya isteri boleh buat pilihan


i. Jikalau konflik rumahtangga itu berlaku berpunca daripada diri isteri semata-mata bukan dipengaruhi oleh anasir-anasir luaran. Allah SWT telah menggariskan panduan melalui firmannya yang bermaksudnya


"Dan isteri-isteri yang kamu curigai atau bimbang berlaku nusyuznya(derhaka), maka hendaklah kamu (suami) menasihati mereka, dan jika sekiranya mereka berdegil tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika mereka masih berdegil juga pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak mencederakan) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Tinggi Lagi Maha Besar."


(Surah An-Nisa': 34)


7) MENASIHATI ISTERI


Dalam menghadapi sesuatu permasalahan suami sewajarnya memberi nasihat kepada isteri dengan penuh bijaksana. Nasihat yang diberi meliputi menerangkan hukum dan akibat perbuatan : Memberi contoh-contoh teladan yang boleh diambil iktibar oleh isteri. Suami juga mesti memberi panduan apa yang patut isteri lakukan dan peringatan-peringatan supaya menjadi pegangan isteri. Suami juga hendaklah bersedia memaafkan isteri di atas kesilapan yang dilakukan. Tindakan yang dilakukan oleh suami hendaklah dengan cara yang lembut, sopan dan berperikemanusiaan, sesuai dengan Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:


Dari Abi Hurairah r.a.; Katanya, Nabi s.a.w. bersabda ,


"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Khiamat, maka apabila ia menyaksikan sesuatu peristiwa, hendaklah ia menanggapi dengan baik atau diam. Bijaksanalah membimbing wanita kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagiannyan yang paling bengkok ialah sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya ia patah tetapi jika engkau biarkan, ia akan sentiasa bengkok kerana ia bijaksanalah membimbing wanita dengan baik."


(Riwayat Muslim)



8) MENINGGALKAN TEMPAT TIDUR


Merupakan langkah yang kedua yang disarankan kepada suami untuk bertindak setelah langkah pertama menemui kegagalan. Langkah ini boleh dilakukan dengan cara berikut :


a. Suami tidak melakukan persetubuhan dengan isterinya.


b. Tidur berasingan (berlainan bilik).


c. Tidak bertegur sapa atau bercakap hanya sekadar dengan perlu sahaja


d. Tidur dengan cara membelakangkan isteri


Tempoh bagi suami melaksanakan tindakan ini ialah selama 30 hari (sebulan). Hal ini dikiaskan kepada tindakan yang telah diambil oleh Rasulullah terhadap Safiah apabila Rasulullah marah terhadapnya. Walau bagaimanapun ia boleh dilanjutkan sehingga 4 bulan (120 hari) mengikut keperluan.


Dalam melaksanakan tindakan ini suami tidak boleh meninggalkan rumah dan tidak boleh melampau di dalam tindakannya. Apabila isteri telah kembali taat suami hendaklah memberhentikan semua tindakan dan suami tidak boleh sekali-kali mencari jalan untuk menyusahkan isteri atau membalas dendam.


9) PUKUL


Salah satu langkah yang boleh dilakukan oleh suami terhadap keengkaran isteri setelah langkah pertama dan kedua tidak memberi apa-apa kesan. Tujuan pukulan ialah untuk menyedarkan isteri tentang sikap buruknya serta untuk mengembalikannya ke pangkal jalan. Sabda Rasulullah SAW; maksudnya :


"Hendaklah kamu memukul isteri-isteri kamu apabila mereka mendurhakai kamu tentang perkara yang baik".


Di dalam melaksanakan langkah ini, syarak telah menerapkan syarat-syarat seperti berikut :


1. Memukul isteri dengan pukulan yang tidak melukakan atau yang boleh meninggalkan sebarang kesan.


2. Tidak memukul di bahagian muka / tempat-tempat yang merbahaya seperti dada.


3. Tidak menggunakan alat-alat yang boleh mencederakan.


Selain daripada itu, suami mestilah bertindak di dalam keadaan yang waras dan tidak sekali-kali dengan mengikut perasaan marah atau dendam. Islam melarang keras suami memukul isteri yang tidak membuat kesalahan. Sebolehnya mengelakkan daripada memukul isteri, sekali pun langkah-langkah terdahulu telah gagal.


10) MELANTIK ORANG TENGAH


Setalah suami melakukan ketiga-tiga langkah terdahulu dan didapati tidak menampakkan apa-apa kesan positif malahan bertambah keingkaran isteri, sedangkan suami masih mengharapkan kebaikan maka suami bolehlah melnatik orang tengah. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah An-Nisa' : 35, maksudnya :


Dan jika bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantikan orang tengah untuk mendamaikan mereka iaitu seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan, jika orang tengah itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan nescaya Allah akan menjadikan kedua suami isteri itu berpakat iaitu sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui lagi di dalam pengetahuannya".


ii. Konflik yang berpunca daripada pihak suami.


Dalam menghadapi konflik rumahtangga yang berpunca daripada sikap buruk suami, isteri hendaklah bertindak berdasarkan firman Allah SWT, (Surah An-Nisa' : 128) maksudnya :


Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak apa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir ……..


Daripada ayat di atas, tindakan yang patut dilaksanakan oleh isteri ialah memujuk suami dengan menyatakan bahawa suami sebagai tempat perlindungan isteri dan anak, isteri hendaklah memberi peluang kepada dirinya dan suami untuk meneruskan kehidupan suami isteri di samping meningkat potensi diri bagi menarik minat dan kesedaran suami supaya untuk memberi perhatian terhadap rumahtangga. Di dalam keadaan ini, pihak isteri tidak patut menggalakkan sikap terburu-buru atau mencerca. Suami di atas kesilapannya dan memohon pertolongan daripada Allah SWT.


Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu isteri perlu mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pihak tertentu seperti keluarga sahabat atau orang tengah yang dilantik untuk membaiki keadaan rumahtangga yang kian meruncing. Kemuncak daripada krisis rumahtangga mungkin isteri perlukan mengambil sesuatu tindakan isteri perlu menunjukkan permasalahan ke pejabat-pejabat agama. Bagaimanapun semasa krisis, isteri tidak boleh sekali-kali untuk meninggalkan rumah tanpa persetujuan daripada pihak suami melainkan untuk mendapatkan perlindungan (kes-kes deraan dan sebagainya).



11) KESIMPULAN


Krisis di atas suami isteri merupakan perkara yang lumrah berlaku di dalam rumahtangga walau sebagaimana rukun sekali perhubungan mereka. Kejadian krisis dalam rumahtangga boleh memberi kesan yang positif apabila ia dikendalikan atau ia diselesaikan dengan baik kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Bagaimanapun jika terlalu kerap berkrisis akan menjadikan rumahtangga sentiasa bergelombang dan jika dibiarkan ia akan karam. Oleh itu, tolak ansur dan persefahaman di antara suami isteri selalunya akan menyelamatkan keadaan dan rumahtangga akan terus kekal bahagia


Wallahua'lam


Jenayah siber

|

Jenayah siber

1.0    Pengenalan

Jenayah Siber

Jenayah siber sukar dibuktikan. Malah di Amerika Syarikat sendiri yang mempunyai teknologi canggih, agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan US merujuk banyak kes-kes jenayah siber akan tetapi majoritinya ditolak oleh peguam kerajaan.

Contohnya setiap tahun antara 1992 dan 1998, Jabatan Keadilan US menolak untuk mendakwa antara 68 peratus dan 78 peratus kes jenayah siber yang dirujuk kepada mereka. 40 peratus ditolak kerana tiada bukti niat jenayah, kelemahan atau kekurangan keterangan yang boleh diterima.

AKTA JENAYAH KOMPUTER 1997 (AJK 97)

Diluluskan di Parlimen pada Mac 1997

Dikuatkuasa pada 1 Jun 2000

Tujuan: - Bagi mengawal perlakuan jenayah yang dilakukan menggunakan komputer secara terus atau melalui talian.

Mengikut akta ini "komputer" meliputi suatu peranti elektronik, magnet, optik, elektrokimia atau peranti pemprosesan data yang lain atau sekumpulan peranti tersaling sambung atau yang bekaitan yang melaksanakan fungsi logik, arimetik, storan, paparan dan termasuklah apa-apa kemudahan storan data atau kemudahan komunikasi yang berkaitan secara langsung dengan atau dikendali bersama dengan suatu peranti atau sekumpulan peranti tersaling sambung atau yang berkaitan.

Istilah komputer tidak termasuk suatu mesin taip atau mesin pengatur huruf berautomat, atau suatu mesin hitung pegangtangan mudah alih atau peranti seumpama yang lain yang tidak boleh atur cara atau yang mengandungi apa-apa kemudahan storan data.

Poster Komunikasi Dan Dasar Awam

|

Poster ini hak milik : Wan Zainal Shahriman Bin Wan Husain

Risalah Komunikasi dan Dasar Awam

|

Risalah ini adalah hak milik : Wan Zainal Shahriman Wan Husain

KOM3305 - tugasan 1

|

BAHASA - PENCAMPURAN KOD

|

SASTERA DAN BUDAYA
________________________________________
PERCAMPURAN KOD BERLAKU
DI KALANGAN MASYARAKAT MALAYSIA : SECARA UMUM
ABSTRAK
Pada zaman yang deras menuju era kemodenan kini, jelas sekali menunjukkan bahawa bangsa yang lemah terlalu cepat dipengaruhi kebudayaannya oleh bangsa yang mempunyai kuasa politik dan ekonomi yang kukuh. Pengaruh itu meresap melalui beberapa saluran, antaranya melalui kemajuan sains dan teknologi, suasana politik, sosial dan ekonomi, salah satunya mempengaruhi bahasa bangsa tersebut sehinggakan timbul fenomena percampuran kod di kalangan pengguna bahasa. Ini adalah merupakan salah satu fenomena linguistik. Dalam kertas kerja ini, saya akan menjelaskan beberapa alasan yang mendorong berlakunya percampuran kod secara umum sahaja yang berlaku di kalangan masyarakat Malaysia. Kertas kerja ini juga turut membicarakan secara ringkas tentang implikasi percampuran kod terhadap tamadun bangsa.
PENDAHULUAN
Sebelum membincangkan tentang percampuran kod, istilah 'bahasa rojak' atau 'bahasa pasar' digunakan bagi menggambarkan percampuran kod. Dalam bidang linguistik atau ilmu bahasa, sebenarnya tidak pernah ada istilah 'bahasa rojak'. Istilah ini ditimbulkan oleh sejumlah orang yang melihat adanya fenomena bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, daripada sudut pandangan orang awam. Mereka mengaitkan sesuatu yang bercampur aduk itu sebagai rojak kerana kita sudah ketahui rojak itu merupakan makanan daripada bahan-bahan yang bercampur-campur; disebabkan inilah bahasa yang bercampur aduk itu diistilahkan sebagai 'bahasa rojak'. 'Bahasa rojak' ini membawa konotasi bahawa sesuatu yang tidak murni walaupun rojak itu sendiri ialah sejenis makanan yang enak dan digemari ramai. Ini kerana 'bahasa rojak' itu mengandungi pencampuran unsur-unsur bahasa asing dengan bahasa Melayu secara yang tidak bersistem atau tidak teratur. Sebagaimana terkenalnya rojak sebagai makanan kegemaran ramai, begitulah terkenalnya 'bahasa rojak' yang sering dipertuturkan oleh pengguna bahasa dan inilah yang sangat dikhuatiri oleh ahli-ahli bahasa kerana ia boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif.
1.1 DEFINISI
PENCAMPURAN KOD
Percampuran kod menurut Bokemba bermaksud penggunaan berbagai-bagai unit linguistik seperti imbuhan, kata, frasa dan klausa daripada dua sistem tatabahasa yang berlainan dalam satu ayat. Percampuran memerlukan minimum dua bahasa yang peraturannya diintegrasikan dalam satu ayat. Manakala Poplack pula menjelaskan bahawa percampuran kod biasanya berlaku di satu titik dalam satu ayat. Titik percampuran kod berada dalam lingkungan struktur permukaan dua bahasa yang dipadankan bersama-sama. Contohnya orang yang sedang bercakap dalam bahasa Melayu memasukkan unsur-unsur bahasa yang lain seperti bahasa Melayu Standard dicampuradukkan dengan dialek-dialek Melayu dan bahasa Inggeris. Ini kerana penutur beranggapan bahawa pendengar juga sepertinya yakni faham dan fasih dalam kedua-dua bahasa.
Istilah percampuran kod dan peralihan kod itu kedua-duanya tidak mempunyai perbezaan kerana jika kita perhatikan maksud yang diberikan oleh Di Pietro (1977: 3-13), Trudgill (1974: 56) dan Hudson (1980: 56) lihat dalam Wong Khek Seng (1991), masing-masing berpendapat bahawa alih kod melibatkan penukaran daripada satu ragam bahasa kepada satu ragam bahasa yang lain dan penukaran tersebut dipengaruhi oleh faktor situasi dan masa.
Manakala Gumperz, J.J (1982: 59) lihat dalam Wong Khek Seng (1991), pula mentakrifkan alih kod seperti yang berikut:
"Penukaran kod dalam perbualan dapat ditakrifkan sebagai penyelitan dua sistem atau subsistem kenahuan yang berbeza ke dalam sesuatu urutan ujaran (speech exchange) yang sama. Lazimnya, alternasi tersebut melibatkan dua ayat secara urutan, dan seseorang penutur akan menggunakan bahasa kedua sama ada untuk mengulang mesejnya atau untuk membalas pernyataan orang lain."
Menurut Asmah Haji Omar (1982 : 128) lihat dalam Abil Hassan (2005), menyatakan bahawa alih kod merupakan perubahan daripada satu kod ke satu kod yang lain dalam pertuturan oleh penutur yang tertentu dan dalam situasi yang tertentu sama ada formal atau tidak formal. Menurut beliau lagi, istilah kod itu boleh saja bermaksud bahasa, dialek atau stail. Dengan pernyataan ini, bermakna alih kod boleh juga dalam bentuk interbahasa atau intrabahasa dan ia wujud di kalangan penutur bilingual serta juga di kalangan penutur monolingual (penutur yang bahasa ibundanya ialah bahasa Melayu, tetapi dalam masa yang sama dia juga boleh bertutur dalam dialek Melayu Malaysia). Oleh itu, penutur monolingual ini sering berlakunya peralihan bertutur dalam bahasa Melayu Standard ke dialek Melayu Malaysia apabila berada dalam situasi tertentu atau dalam erti kata lain peralihan dari satu bahasa ke dialek yang berasal dari bahasa yang sama. Dengan itu jelaslah menunjukkan bahawa istilah percampuran kod dan peralihan kod itu tidak ada perbezaan.
Alih kod boleh dikategorikan kepada tiga peringkat. Di sini saya akan menjelaskan ketiga-tiga peringkat tersebut secara ringkas sahaja dengan memberi beberapa contoh. Pertama, alih kod peringkat kata sebagai contoh:
A: " What it's light?"
B: "Cahaya"
Lazimnya berlaku alih kod di antara peserta tutur. Kedua, alih kod peringkat frasa adalah seperti berikut:
"This rocket height is not very high, inda berapa tinggi."
Berdasarkan dari contoh di atas, menunjukkan berlakunya alih kod ke bahasa Melayu yang menterjemahkan perkataan yang dipertuturkan dalam bahasa Inggeris dalam peringkat frasa dan alih kod ini bertujuan untuk mempertingkatkan pemahaman orang yang diajak bercakap.
Ketiga, alih kod dalam peringkat ayat. Alih kod ini dapat dilihat dari sudut interayat (lebih kepada interferensi leksikal) dan intraayat (perubahan berlaku pada klausa ayat). Alih kod interayat merupakan alih kod yang berlaku dari ayat ke ayat. Ia berlaku secara tidak langsung dengan melibatkan klausa dan ayat pada peringkat perbualan atau wacana. Berdasarkan contoh-contoh di bawah ini, penutur sering beralih kod daripada satu klausa ke satu klausa yang lain mengikut situasi perbualan. Peralihan kod ini berlaku dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu Malaysia, bahasa Melayu Standard ke bahasa Melayu Malaysia atau ke bahasa Inggeris atau sebaliknya.
Contoh ayat:
a. "This afternoon we have a meeting. Pasan Ustaz, jangan lupa datang karang ja, kita baca doa tu ja."
b. "Assalamualaikum! How
are you? Pucat ni, damam ustazkah?"
c. "How many your children now? Seorang masihkah?"
d. "Siti, have you see ustaz? Teliat ko kah?"
Manakala alih kod intraayat pula merupakan alih kod yang terjadi dalam ayat itu sendiri. Penukaran ini berlaku dalam satu peringkat ayat dari satu bahasa ke satu bahasa yang lain atau dari satu bahasa ke satu dialek.
Contoh ayat:
a. "Pasan cigu don't forget to come this evening untuk baca tahlil dan doa selamat."
b. "We have to invite him, pasal ia pernah jadi guru tani jua dulu."
c. "Tahniah ah Zamri kau naik pangkat ah, and don't forget to belanja us makan."
1.2 PEMEROLEHAN DATA
Data-data percampuran kod yang dikemukakan sebagai contoh di atas dan yang akan diberikan selanjutnya di bawah ini adalah diperolehi melalui kaedah perpustakaan, iaitu dengan mengutip data-data dari bahan-bahan penulisan seperti akhbar Pelita Malaysia, kertas kerja seminar bahasa dan sebagainya.
2.0 LATAR BELAKANG PENGUASAAN BAHASA DALAM PERINGKAT
PENDIDIKAN
Sebelum saya menghuraikan lebih lanjut beberapa alasan mengapa berlakunya percampuran kod ini, ingin saya menjelaskan secara ringkas latar belakang penguasaan bahasa dalam peringkat pendidikan di Negara Malaysia Darussalam yang mungkin ada hubung kait berlakunya fenomena percampuran kod.
2.1 Penguasaan Bahasa Melayu Standard
Dalam sistem pendidikan negara, mata pelajaran bahasa Melayu diwajibkan lulus sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat tinggi. Apabila sistem pendidikan dwibahasa dilaksanakan sejak 1985, peranan bahasa Melayu semakin berkurangan terutama dari peringkat sekolah menengah ke atas kerana banyak mata pelajaran yang dipelajari menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Walau bagaimanapun, dalam konteks negara ini, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi terus digunakan baik dalam sektor kerajaan ataupun sektor swasta dan digunakan dalan surat-menyurat, papan-papan tanda dan ucapan-ucapan di dalam majlis-majlis rasmi atau tidak rasmi.
2.2 Penguasaan Bahasa Inggeris
Kita sudah maklum bahawa hampir semua mata pelajaran yang dipelajari menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar terutama di peringkat sekolah menengah setelah dilaksanakan sistem pendidikan dwibahasa. Bahasa Inggeris mula dianggap sebagai bahasa yang mempunyai nilai dan prestij yang tinggi serta dapat menaikkan status individu di mata masyarakat setempat dan antarabangsa seperti jika seseorang itu ingin meningkatkan pelajaran ke luar negara seperti United Kingdom atau Eropah, seseorang itu mestilah menguasai bahasa Inggeris untuk mendapatkan dermasiswa. Selain itu penilaian kecekapan dalam suatu pekerjaan diutamakan kepada orang yang mengetahui bahasa Inggeris dan sebagainya.
2.3 Penguasaan Dialek Melayu Malaysia
Dialek Melayu Malaysia atau bahasa Melayu Malaysia merupakan lingua franca di Negara Malaysia Darussalam dan menjadi sebagai bahasa perhubungan dalam konteks tidak formal dan ada kalanya digunakan dalam semi formal kerana memandangkan majoriti dari penghuni di negara ini kebanyakannya terdiri dari penutur dialek Melayu Malaysia. Rata-rata puak dan bangsa yang tinggal di negara ini boleh memahami dan menggunakan dialek Melayu Malaysia sebagai wahana mereka untuk berkomunikasi. Oleh itu dalam peringkat persekolahan dialek Melayu Malaysia sering juga digunakan semasa berinteraksi di antara guru dan pelajar kerana mereka berpendapat bahawa dialek Melayu Malaysia dapat mengeratkan lagi hubungan dan saling memahami di antara penutur dan dapat mewujudkan kehormanian.
3.0 CIRI-CIRI
PERCAMPURAN KOD
Ciri percampuran kod yang utama adalah penutur itu merupakan penutur dwibahasa atau multibahasa. Ini bermaksud penutur tersebut mempunyai pengetahuan variasi bahasa lebih daripada satu. Hal ini membolehkan penutur tersebut menyelit lebih banyak perkataan dan frasa dari bahasa asing atau dialek-dialek mereka yang lain.
Ciri percampuran kod juga dapat dilihat dari aspek kelicinan perbualan penutur tersebut. Ini bermaksud, penutur dapat berbual dengan spontan dan mengekalkan kelicinan perbualan setiap kali percampuran kod berlaku. Oleh itu, tidak wujud perubahan dari segi irama ayat atau jeda untuk menandakan percampuran kod. Di sini juga tidak menunjukkan tanda bahawa penutur itu tidak memahami apa yang dicakapkannya. Percampuran kod berlaku kerana dipengaruhi oleh keadaan tertentu.
4.0 MENGAPA BERLAKUNYA
PERCAMPURAN KOD?
Menurut Soepomo (Pelita Malaysia, 2005), kod boleh beralih dari variasi ke variasi yang lain. Peralihan ini dapat menuju dari formal kepada tidak formal, dari yang paling menghormati kepada yang tidak menghormati, dari yang amat lengkap ke arah yang paling ringkas, dari dialek yang kurang dikuasai ke dialeknya sendiri dan sebagainya.
Di Negara Malaysia Darussalam, fenomena percampuran kod juga sering diperbincangkan dalam seminar bahasa. Percampuran kod pada peringkat masyarakat, ditemui pada situasi-situasi formal atau tidak formal dan lebih banyak berlaku di kalangan orang muda. Di bawah ini akan saya jelaskan beberapa alasan yang mendorong berlakunya percampuran kod secara umum sahaja yang berlaku di kalangan masyarakat.
Pertama, sistem pendidikan negara yang berlandaskan kedwibahasaan. Oleh kerana pengaruh atau kepentingannya dalam sistem pendidikan itu sangat kuat menyebabkan dengan tidak sengaja mempengaruhi dalam pertuturan seharian seperti penutur menggunakan percampuran kod yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, kerana kedua-dua bahasa ini sangat dominan di kalangan pengguna bahasa.
Selain itu, percampuran kod juga berlaku kerana sudah menjadi kebiasaan dalam pertuturan seharian, iaitu semasa berlaku interaksi sosial dengan orang yang dikenali atau tidak terutamanya percampuran kod yang melibatkan penggunaan bahasa Inggeris. Tambahan pula, bahasa Inggeris juga digunakan sebagai bahasa perhubungan dalam urusan perniagaan sama ada di sektor awam mahupun swasta.
Kedua, unsur kemodenan, iaitu percampuran kod merupakan gaya bahasa yang terkenal masa kini terutamanya percampuran kod yang melibatkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau sebaliknya. Penggunaannya digunakan sengaja kerana keinginan penutur untuk menunjukkan ketinggian status sosialnya atau menunjukkan dirinya orang yang berpelajaran tinggi. Dalam erti kata lain, sifatnya yang riyak atau ingin menunjukkan kebolehannya bertutur dalam dua bahasa.
Ketiga, faktor ekonomi, iaitu memilih perkataan yang lebih mudah dan kompleks sifatnya. Sebagai contoh sering kita perhatikan penutur bahasa Melayu akan menyerapkan kosa kata dalam bahasa Inggeris bagi menggantikan kosa kata dalam bahasa Melayu yang terdiri dari suku kata yang lebih panjang berbanding dengan kosa kata dalam bahasa Inggeris seperti kata 'result' terdiri dari dua suku kata, sering digunakan bagi menggantikan kata 'keputusan' yang terdiri dari empat suku kata. Begitu juga kata 'cheap sale' lebih mudah dipertuturkan berbanding dengan kata 'jualan murah' yang terdiri dari lima suku kata. Contoh ayat adalah seperti berikut:
a. "Liat atu liat arrownya."
b. "Setahu ku di sini inda bulih parking jua."
Berdasarkan dari contoh-contoh yang diberikan di atas, kata 'arrow' yang mempunyai dua suku kata lebih sering digunakan berbanding dengan kata 'anak panah' yang mempunyai empat suku kata. Begitu juga dalam contoh yang seterusnya, kata 'parking' yang mempunyai dua suku kata itu sering digunakan bagi menggantikan kata 'tempat meletak kereta' yang mempunyai lapan suku kata.
Keempat, nilai makna, iaitu penutur bahasa Melayu sering menggunakan kosa kata dalam bahasa Inggeris untuk menyampaikan sesuatu yang ingin diungkapkan kerana sukar untuk mencari item leksikal dalam bahasa Melayu memandangkan jika penutur ingin menyampaikannya dalam bahasa Melayu akan melibatkan penghuraian yang panjang seperti kata 'mood' lebih sering digunakan berbanding menyatakannya dengan 'perasaan hati sama ada perasaan gembira atau sebaliknya' dalam pengertian bahasa Melayu. Contoh ayat adalah seperti berikut:
"Entah ah liat mood ku dulu."
Dalam erti kata lain, percampuran kod berlaku kerana sukar ditemui kata yang tepat untuk mengungkapkan apa-apa yang tersirat dalam fikiran. Oleh itu, untuk menyampaikan pengertian atau maksud yang padanannya tidak terdapat dalam bahasa Melayu atau yang tidak diwakili oleh kata yang sedia ada, pengguna menggunakan kata, frasa atau ungkapan dalam bahasa Inggeris. Selain itu, ini mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan penutur dalam bahasa Melayu sehinggakan penutur menggunakan percampuran kod yang bertujuan untuk menyampaikan sesuatu yang ingin disampaikannya.
Kelima, ingin merahsiakan sesuatu daripada diketahui oleh orang yang terlibat dalam peristiwa tutur. Oleh itu penutur sering bercampur kod dengan menggunakan kod yang tidak difahami seperti kedua-dua penutur yang bertutur dalam bahasa Melayu itu akan beralih kod ke bahasa Inggeris yang kurang difahami atau diketahui kepada orang yang berdekatannya.
Keenam, percampuran kod berlaku disebabkan oleh penggantian warna emosi atau warna kehendak penutur. Dalam komunikasi, penutur biasanya tidak hanya menyampaikan pesan seperti dalam bentuk kata, frasa atau ungkapan yang dituturkan tetapi juga menyampaikan pelbagai warna emosi dan kehendak perlambangannya yang tidak dilaksanakan oleh kata, frasa atau ungkapan tersebut. Contohnya, dalam masyarakat monolingual, pergantian warna emosi dan kehendak sering diwujudkan dengan pengertian nada suara. Akan tetapi dalam masyarakat bilingual, pergantian warna emosi dan kehendak ini dilahirkan melalui percampuran kod. Contoh ayat:
"I have to be strong, kuat, sabar, bersedia…"
Berdasarkan contoh ayat di atas menunjukkan penutur ini dalam keadaan yang sedih dan kesedihannya itu jelas diketahui melalui percampuran kod yang digunakannya.
Ketujuh, penggunaan percampuran kod kerana dipengaruhi oleh status peserta yang terlibat. Ini bermaksud pentingnya penutur perlu mengetahui status peserta yang terlibat agar yang dituturkan itu difahami oleh peserta tersebut. Contohnya seorang pegawai tinggi menggunakan percampuran kod yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu standard dan dialek Melayu Malaysia ketika berucap di hadapan penduduk kampong yang kebanyakannya dari golongan berpendidikan rendah dan warga tua. Begitu juga, semasa dalam sesi pengajaran di bilik darjah, guru juga menggunakan percampuran kod agar dapat memudahkan kepahaman pelajar. Contoh-contoh ayat adalah seperti berikut:
a. "This rocket height is not very high, inda berapa tinggi".
b. "Zero sini ertinya kosong"
c. "Atu human being maksudnya manusia"
Berdasarkan contoh-contoh yang diberikan di atas, guru tersebut menggunakan bahasa Melayu untuk menterjemahkan istilah dalam bahasa Inggeris.
Kelapan, faktor peserta interaksi, iaitu apabila berlakunya pertembungan antara dua masyarakat dan budaya yang berbeza sebagai contoh apabila penutur cina berinteraksi dengan penutur Melayu sering menggunakan percampuran kod agar difahami oleh peserta tutur.
Kesembilan, kurangnya galakkan yang diberikan oleh orang yang diajak bercakap, seperti apabila kita ingin bertutur sepenuhnya dalam bahasa Melayu Standard, kita akan dianggap bermegah atau sombong, iaitu seolah-olah kita ingin menunjukkan diri kita itu dari golongan yang tinggi pendidikannya dan berkebolehan dalam menguasai bahasa Melayu Standard sepenuhnya dan ini menyebabkan percampuran kod berlaku. Seperti di kalangan penutur monolingual, percampuran kod yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu Standard dan dialek Melayu Malaysia yang berasal dari bahasa yang sama.
Kesepuluh, percampuran kod turut berlaku disebabkan aktiviti peminjaman bahasa iaitu penggunaan istilah-istilah khusus dalam bidang-bidang tertentu seperti ekonomi, sains dan sebagainya memperlihatkan berlakunya penggunaan istilah daripada bahasa Inggeris dan bahasa lain ke dalam bahasa Melayu. Ini dapat mengakibatkan, pengguna bahasa mengnganggap bahawa kosa-kosa kata yang digunakannya itu merupakan kata-kata pinjaman sebenarnya kosa-kosa kata bahasa Inggeris yang digunakannya dalam penyampaian bahasa Melayu itu adalah bukan kata-kata pinjaman.
Kesebelas, untuk mendapatkan tindak balas yang lebih baik antara peserta tutur dan secara tidak langsung dapat menjalinkan suasana yang ceria dan mewujudkan keakraban sebagai contoh percampuran kod yang melibatkan penggunaan dialek Melayu Malaysia kerana dialek ini merupakan penanda solidariti di kalangan masyarakat di Negara Malaysia Darussalam. Contoh-contoh ayat:
a."We have to discuss this problem later. Sarjan, pasan anak buah kitani suruh kumpul.''
b. "Tuan …Koperal Ali can't come this morning. Apa ni, kata bininya damam ia"
Berdasarkan contoh-contoh ayat di atas, penutur menggunakan bahasa Inggeris kemudian beralih ke dialek Melayu Malaysia. Di sini jelas menunjukkan keakraban seorang pegawai dan anak buahnya dalam berkomunukasi.
Melihat dari faktor-faktor yang dinyatakan di atas itu jelas menunjukkan percampuran kod sering berlaku dalam situasi tidak formal kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor penyebab seperti sosiobudaya, pendidikan dan sebagainya.
Dari alasan-alasan yang diberikan di atas, dapat juga dibuktikan bahawa kenyataan itu ada betulnya dengan berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Dr.Hjh Fatimah, iaitu seorang pensyarah dalam Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik yang telah mengkaji punca berlakunya alih kod yang berlaku sama ada pada para pelajar dan guru atau pentadbir sekolah itu sendiri. Menurut hasil kajian tersebut alasan-alasan yang diberikan oleh para guru atau pentadbir sekolah dan pelajar adalah seperti berikut:
Guru dan pentadbir sekolah.
Pertama, untuk memudahkan kepahaman dan juga meningkatkan kepahaman pelajar dengan lebih baik kerana memandangkan mungkin penjelasan yang diberikan dengan beralih kod itu lebih membawa makna yang hendak disampaikan kepada pelajar terutama pelajar-pelajar yang mempunyai pencapaian yang lemah. Sebagai contoh:
a. "The boy looked tired inda fresh".
b. "The length is eighteen centimetre, the breadth is eighteen centimetre ada the height is eighteen centimetre. Semua, semua sama. Mesti sama".
Kedua, untuk menjimatkan waktu agar pemelajaran itu selari dengan kehendak sillabus. Ketiga, untuk mendapatkan tindak balas yang lebih baik antara guru dan pelajar dan secara tidak langsung dapat menjalinkan suasana yang ceria dan mewujudkan keakraban antara guru dan pelajar, sebagai contoh penggunaan bahasa Melayu Malaysia (bahasa tempatan) sebagai media komunikasi merupakan salah satu cara mengekalkan dan meningkatkan hubungan interpersonal antara guru dan pelajar.
Sebagai contoh:
G: " …if you have any question. Kalau ada soalan, bulih cakap Melayu. Cigu inda marah. Cakap kedayan pun bulih".
P: "Ha! Ha! Ha!"
P: "cakap kaling bulih cigu ?"
G: "Cigu alum pandai cakap kaling"
Keempat, untuk memperkaya perbendaharaan kata, sebagai contoh percampuran kod (alih kod) yang berlaku dalam pengajaran bahasa Inggeris itu, di samping mengetahui kosa kata dalam bahasa Inggeris kita juga mengetahui kosa kata dalam bahasa Melayu kerana bahasa Melayu yang diajar itu seperti bahasa kedua bagi mereka kerana dialek Melayu Malaysia adalah dianggap sebagai bahasa pertama dan lagi guru-guru berpendapat bahawa berlakunya percampuran kod itu memberi peluang untuk memperkenalkan kosa kata yang belum diketahui.
Kelima, untuk menterjemahkan istilah-istilah atau kosa-kosa kata yang susah. Oleh itu percampuran kod sering berlaku untuk memudahkan pemahaman pelajar. Sebagai contoh:
a. "Zero sini ertinya kosong".
b. "Light is cahaya".
c. "Atu human being maksudnya manusia".
Berdasarkan contoh-contoh yang diberikan di atas, guru tersebut menggunakan bahasa Melayu standard untuk menterjemahkan istilah dalam bahasa Inggeris.
Keenam, untuk mendapatkan pengajaran yang lebih berkesan dan lebih efektif kerana adanya berlaku percampuran kod itu dapat memudahkan pemahaman pelajar. Ketujuh, untuk menyemak kepahaman murid (comprehension check) iaitu satu alih kod yang berlaku diantara peserta tutur seperti guru bertanya dalam bahasa Inggeris manakala pelajar akan menjawab dalam bahasa Melayu. Secara keseluruhan, percampuran kod (alih kod) dapat melancarkan komunikasi kerana menggunakan kod yang mudah difahami di antara peserta tutur.
Pelajar
Pertama, mereka berpendapat mempelajari sesuatu bahasa, terutama bahasa Inggeris sangat susah, lebih-lebih lagi bahasa tersebut merupakan bahasa yang kedua atau ketiga bagi pelajar. Ini menyebabkan alih kod bahasa Inggeris ke bahasa Melayu sering berlaku sama ada dalam sesi soal jawab atau berinteraksi bersama guru.
Kedua, mendapat kesukaran untuk menyebut kosa-kosa kata khususnya dalam bahasa Inggeris dan juga sukar untuk mendapatkan kosa kata yang sesuai untuk melengkapkan sesuatu kenyataan yang ingin disampaikan oleh pelajar. Oleh itu percampuran kod sering berlaku menandakan satu tindak balas dalam bilik darjah tersebut. Ada kalanya percampuran kod itu berlaku terdiri dari bahasa yang sama, iaitu dari bahasa Melayu standard ke dialek Melayu Malaysia dengan alasan ada sesetengah kosa-kosa kata dalam bahasa Melayu Standard itu belum atau kurang dikenali oleh pelajar dan ini menyebabkan pelajar beralih kod.
5.0 IMPLIKASI
PERCAMPURAN KOD (ALIH KOD) KEPADA TAMADUN BANGSA
Dari beberapa alasan yang telah dinyatakan di atas tadi, didapati bahawa percampuran kod banyak memberi sumbangan yang berguna kapada pengguna bahasa terutamanya pada para guru semasa sesi pengajaran dalam bilik darjah. Walaubagaimanapun, apabila penggunaanya meluas dikalangan masyarakat, dapat mengakibatkan mutu penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris akan terus merosot dan lemah dan tambahan pula, perlu kita ingat bahawa jika kita implikasikan percampuran kod (alih kod) terhadap tamadun bangsa mungkin menjadi isu yang besar dan masalah ini juga pernah selalu ditimbulkan dalam seminar, dalam tulisan, dalam memorandum dan dalam pelbagai wacana yang lain.
Kita ingat dengan pepatah Melayu mengatakan 'Bahasa jiwa bangsa', 'Bahasa menunjukkan bangsa' dan 'hilang bahasa lenyaplah bangsa'. Di sini timbul difikiran kita, adakah percampuran kod (alih kod) ini dapat kita jadikan sebagai bahasa yang selari dengan pepatah yang kita jadikan sebagai pegangan hidup di setiap masyarakat, setentunya tidak kerana campur aduk dua bahasa atau lebih itu merupakan bahasa yang tidak bersistem dan tidak teratur.
Tamadun bermaksud keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran sama ada dari segi sosial, budaya, politik, dan sebagainya yang tinggi. Oleh itu, tamadun bangsa bermaksud bangsa yang mempunyai perkembangan pemikiran yang tinggi. Kalau bahasa kita letakkan di mercu pentadbiran dan pendidikan negara, yang tentu kita harapkan ialah bahasa yang baik mutunya, bukan bahasa yang buruk atau yang tidak mencerminkan mertabat bahasa itu sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. Di sini timbul difikiran kita, adakah percampuran kod itu dapat mencerminkan ketinggian tamadun bangsa? Setentunya tidak.
Kita tidak patut meremehkan bahasa yang baik, kerana dalam pertumbuhan dan perkembangan mana-mana tamadun, bahasa yang rasmi dan yang baku itu memang perlu untuk tujuan pemikiran, ilmu dan bidang kehidupan lain yang mencerminkan ketinggian tamadun bangsa itu walaupun kita tidak dapat nafikan kewujudan percampuran kod (alih kod) berfungsi untuk keperluan perhubungan sehari-hari. Oleh itu, kalau kita bercakap tentang tamadun tinggi, kita tidak boleh meremehkan mutu bahasa iaitu dari segi sistemnya baik dalam hal kosa kata, tatabahasa, ejaan, sebutan dan sebagainya.
6.0 KESIMPULAN
Berdasarkan kepada beberapa alasan yang menyebabkan berlakunya percampuran kod yang telah dinyatakan di atas tadi jelas bahawa percampuran kod (alih kod) banyak memberi sumbangan dan keperluan dalam perhubungan sehari-hari sama ada di rumah, di sekolah, di pejabat dan sebagainya seperti percampuran kod yang melibatkan penggunaan bahasa Inggeris dan Dialek Melayu Malaysia dapat menjalinkan suasana yang lebih ceria dan mewujudkan keakraban di antara penutur dan orang yang diajak bercakap. Pada umumnya kita sudah mengetahui percampuran kod berlaku tanpa kita sedari memandangkan keadaan ini sudah sebati dengan kehidupan sehari-hari dari peringkat awal lagi, bahkan ia merupakan satu kepentingan kerana dapat melicinkan atau melancarkan komunikasi. Dalam erti kata lain dapat memudahkan pemahaman kepada orang yang diajak bercakap dengan beralih kod ke kod yang mudah difahami. Percampuran kod ini mungkin disebabkan dari faktor pendidikan yang berdasarkan sistem dwibahasa yang diterima serta pengaruh persekitaran sama ada dari pergaulan sosial atau pengaruh dari bahasa ibunda.
Walaubagaimanapun, dalam esei ini saya juga menyelitkan implikasi percampuran kod (alih kod) terhadap tamadun bangsa. Kalau kita memperkatakan tentang tamadun bangsa, percampuran kod (alih kod) tidak sama sekali menggambarkan tamadun tinggi kerana bahasa yang bercampur aduk tidak mempunyai sistem bahasa yang teratur. Tambahan lagi, dalam pertumbuhan dan perkembangan mana-mana tamadun, bahasa yang rasmi dan yang baku itu memang perlu untuk tujuan pemikiran, ilmu dan bidang kehidupan lain yang mencerminkan ketinggian tamadun bangsa itu.
Di sini saya sarankan, setiap individu baik pelajar mahupun guru dan di kalangan pengguna bahasa haruslah memainkan peranan yang penting agar sama-sama mendaulatkan dan memelihara terutama bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu agar menjadi bahasa yang dapat mencerminkan mertabat bahasa itu sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa budaya. Salah satu langkah yang perlu ialah dengan cara memupuk budaya linguistik bahasa Melayu, iaitu satu pemikiran yang membawa pengertian yang baik terhadap bahasa Melayu atau penghayatan yang lebih mendalam terhadap bahasa Melayu. Selain itu, memupuk rasa cinta kepada bahasa kebangsaan dan mendidik rakyat tentang pentingnya bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi, iaitu bahasa Melayu dari sudut jati diri pada negara dan menjadi simbol kedaulatan negara dan juga tingkatkan kemahiran berbahasa sama ada bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris.
Sebagai penutup, saya mengambil sebuah petikan daripada Awang Sariyan yang berbunyi:
"Tentulah yang menjadikan bahasa Melayu demikian besarnya itu ialah bahasa yang teratur, terkawal dan berkesan pula, iaitu bahasa yang baku dan rasmi. Hakikat ini perlu dipertahankan jika kita hendak menjadikan bahasa Melayu bahasa yang mampu menjadi bahasa dunia moden. Usahlah diturunkan darjat bahasa Melayu yang sudah mencapai taraf bahasa yang tinggi itu dengan mencemarkannya, atas nama perkembangan bahasa, fesyen semasa atau kebebasan dan hak asasi menggunakan bahasa".
RUJUKAN
Abil Hassan. 2005. Intraayat dalam Alih Kod. Pelita Malaysia: 8
Hjh. Fatimah Hj. Chuchu. 2001. Bahasa Melayu dalam Alih Kod: Klasifikasi dan
Fungsi dlm. Kertas Kerja Seminar Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu dan Seminar Kesusasteraan III MASTERA Sempena 40 Tahun Penubuhan DPB. Malaysia Darussalam: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hjh. Fatimah Hj. Ghuchu. 2002. Bahasa Melayu : Alih Kod dlm. Rakaman Rampai Pagi .Malaysia Darussalam.
James McLellan. 1997. English-Malay Codeswitching In Malaysia: A distinct Variety, Or Bahasa rojak? at International Symposium: English is an Asian Language- the Malaysian Context. Petaling Jaya : Pj Hilton.
Johari Bujang. 1997. Rojak Melayu Mungkin Tidak Laku. Pelita Bahasa 9 (7): 3-4.
Jaja. 1997. Simply Speaking English. Pelita Bahasa 9 (7): 5.
Suhaila Samsudin. 1997. Bangsaku, Bahasaku. Pelita Bahasa 9 (7): 4-5.
Teo Kok Seong. 2001. Bahasa Melayu Rojak Isu Jati Diri dlm.Rakaman Rampai Pagi. Malaysia Darussalam.
Wong Khek Seng. 1991. Penukaran Kod Dalam Perbualan. Jurnal Dewan Bahasa 35 (12): 1052-1060.
http://www.hum.usm.my/BMBATI/radiah/pelajar/HMT228.htm
Azman Wan Chik. 1982. Trend-Trend Baru dalam Bidang Pendidikan Bahasa:
Analisis Kesilapan Bahasa dan Kajian-kajian yang Berdekatan Dengannya.
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Asmah Hj. Omar. 1982. Nahu Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.
Abdul Ghalib Yunus. 2003. Kasalahan, Kesilapan, dan Kekeliruan Bahasa. Jurnal
Dewan Bahasa 3 (12): 27.
Aini Hj. Karim. 1996. Kesalahan-Kesalahan Bahasa dalam proses Pembelajaran Bahasa Melayu dlm. Kertas Kerja Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu. Beijing.
Awg. Sariyan. ( 1996 ). Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.
Djago Tarigan. 1990. Pengajian Analisis Kesalahan Berbahasa. Penerbit Angkasa Bandung.
Nik Safiah Karim dan rakan-rakan. 2003. Tatabahasa Dewan. Edisi Baru. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.
Wong Khek Seng. 1991. Penukaran Kod Dalam Perbualan. Jurnal Dewan Bahasa 35 (12): 1052-1060.
http://www.hum.usm.my/BMBATI/radiah/pelajar/HMT228.htm

BAHASA ROJAK

|

BAHASA ROJAK.
19 July 2004
Sebagaimana popularnya rojak sebagai makanan kegemaran ramai, tampaknya begitulah jua popularnya 'bahasa rojak'.
Dr. Awang Sariyan
Pengarah Jabatan Bahasa, DBP Malaysia


PENDAHULUAN

Sebagaimana popularnya rojak sebagai makanan kegemaran ramai, tampaknya begitulah jua popularnya 'bahasa rojak' dalam tempoh beberapa bulan akhir-akhir ini.Isu tersebut menjadi salah satu isu bahasa yang hangat diperkatakan dalam media dan dalam pelbagai wacana seperti forum dan seminar, selain isu nasib bahasa Melayu yang kelihatannya masih bagai telur di hujung tanduk apabila dipinggirkan atau tidak diberi keutamaan pada tempatnya yang hak dan wajar, seperti dalam sesetengah majlis dan acara rasmi dalam negara, pada iklan dan papan tanda perniagaan, pada nama jalan, taman perumahan dan bangunan dan sebagainya.

Pada pendapat sesetengah orang, fenomena bahasa rojak atau bahasa yang bercampur-aduk itu tidak lebih daripada fesyen semasa yang tidak patut mencemaskan. Orang yang menilai bahasa sebagai fenomena sosial semata-mata menganggapnya sebagai realiti dan juga perkembangan yang biasa. Malah tidak kurang pula yang keliru dan mengatakan bahawa sejak beratus-ratus tahun dahulu bahasa Melayu sudah menerima kata dan istilah daripada bahasa asing dan oleh itu tidak relevan hal itu dijadikan isu.


BAHASA ROJAK SEBAGAI SATU BENTUK KERANCUAN BAHASA

DALAM bidang linguistik atau ilmu bahasa, sebenarnya tidak pernah ada istilah bahasa rojak. Istilah ini ditimbulkan oleh sejumlah orang yang melihat adanya fenomena bahasa yang bercampur-baur antara bahasa Melayu dengan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, daripada sudut pandangan orang awam. Mereka mengaitkan sesuatu yang bercampur-campur itu sebagai rojak, kerana rojak merupakan makanan daripada bahan-bahan yang bercampur-campur. Dalam hal ini, bahasa yang bercampur-campur itu pun dikaitkan oleh mereka dengan rojak, lalu timbullah istilah bahasa rojak. Bahasa rojak membawa konotasi yang tidak murni walaupun rojak itu sendiri makanan yang enak dan digemari ramai.

Dalam soal istilah bahasa rojak, kesnya sama dengan istilah najis dadah yang pada suatu waktu dahulu menimbulkan persoalan juga. Dadah, menurut hukum agama bukan najis, kerana dadah dapat menjadi unsur penting dalam perubatan. Tetapi, orang menimbulkan istilah najis dadah hanya untuk menunjukkan betapa beratnya ataupun buruknya kesan penyalahgunaan dadah.

Ringkasnya, istilah bahasa rojak bukanlah istilah ilmu. Dalam ilmu linguistik tidak ada istilah itu, tetapi istilah itu dihasilkan oleh orang yang perihatin akan nasib dan maruah bahasa Melayu. Apabila mereka menyaksikan fenomena percampurbauran unsur-unsur bahasa asing dengan bahasa Melayu secara yang tidak bersistem atau tidak teratur, timbul rasa bimbang pada mereka akan maruah bahasa Melayu yang sejak ratusan tahun telah bermartabat tinggi.

Fenomena percampuran dalam penggunaan bahasa sebenarnya bukanlah fenomena baharu walaupun istilah bahasa rojak itu agak baharu. Dalam linguistik, dikenal satu ragam bahasa yang disebut bahasa pijin dan ragam ini sudah sekian lama ada dalam sejarah pertumbuhan bahasa manusia. Dalam konteks masyarakat di Malaysia, masyarakat Cina Baba, misalnya, menuturkan satu ragam bahasa Melayu yang memperlihatkan percampuran unsur bahasa Melayu dengan bahasa Cina. Walau bagaimanapun, ragam bahasa masyarakat Baba ini masih dapat dianggap sebagai variasi bahasa Melayu.

Dalam bidang sosiolinguistik pula terdapat istilah peralihan kod (codeswitiching), iaitu penggunaan unsur bahasa asing pada tempat-tempat tertentu, sama ada dalam bentuk kata, frasa dan bahkan ayat dalam suatu wacana yang diujarkan oleh seseorang. Dalam bahasa Melayu, peralihan kod memang kerap berlaku, bukan sahaja dalam perbualan, bahkan dalam mesyuarat, kuliah, ucapan dan beberapa wacana rasmi yang lain. Unsur bahasa asing yang lazimnya dicampurbaurkan dengan bahasa Melayu ialah bahasa Inggeris. Ahli bahasa melihat bahasa yang bercampur-baur ini sebagai salah satu ragam bahasa basahan, iaitu bahasa yang digunakan untuk urusan yang tidak rasmi, seperti dalam perbualan, gurau senda dan sebagainya. Malah, Za'ba dalam buku Ilmu Mengarang Melayu ada menghuraikan perbedaan antara bahasa surat (bahasa persuratan) dengan bahasa mulut (bahasa pertuturan) yang sememangnya berlainan.

Dengan demikian, yang dikatakan bahasa rojak itu bolehlah dirumuskan sebagai satu variasi atau satu ragam bahasa basahan yang sesuai digunakan dalam suasana tidak rasmi. Walau bagaimanapun, apabila bahasa ini digunakan dalam urusan yang rasmi, maka timbullah masalah kesalahan pemilihan ragam bahasa dan secara khusus masalah itu berkaitan dengan masalah kerancuan atau kesalahan bahasa dan juga isu kesantunan bahasa. Hal ini disebabkan bahawa penggunaan bahasa berkaitan dengan adab. Adab bermakna bahawa sesuatu hendaklah diletakkan pada tempatnya yang betul. Oleh yang demikian, bahasa hendaklah digunakan sesuai dengan konteks dan keperluannya.

Dalam urusan rasmi dan untuk keperluan mengungkapkan ilmu serta pemikiran, bahasa yang sesuai digunakan ialah bahasa yang baku, bukan bahasa basahan atau bahasa pasar. Selama bahasa yang bercampur-baur itu digunakan dalam bahasa pertuturan biasa seperti dalam perbualan dengan rakan atau anggota keluarga, tidak timbul isu. Hal ini demikian kerana kita faham bahawa dalam perbualan biasa yang tidak rasmi, memang mungkin sahaja timbul pelbagai unsur bahasa, misalnya slanga, lingo, dialek dan bahkan ideolek.

Namun, disebabkan unsur bahasa yang sepatutnya terbatas dalam suasana tidak rasmi itu tampaknya telah melarat dalam bidang yang rasmi seperti dalam mesyuarat, penyiaran dan penulisan, maka memang dapat kita rasakan fenomena itu sebagai satu gugatan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Hal ini demikian kerana bahasa basahan atau bahasa pasar memang selamanya tidak pernah diangkat menjadi bahasa ilmu, pemikiran, pentadbiran, undang-undang dan budaya tinggi dalam mana-mana tamadun manusia. Bacalah Sulalatus Salatin, Tajus Salatin, Bustanus Salatin, 'Aqaid al-Nasafi, Mutla'al Badrain, Siratus Salikin, Tuhfat al-Nafis, Kitab Pengetahuan Bahasa, Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka dan ribuan karya klasik dalam bahasa Melayu; kesemuanya menggunakan bahasa Melayu yang baku pada zaman itu. Bahasa pasar hanya digunakan dalam urusan asas sehari-hari.

Bahasa Melayu yang kini diwara-warakan sebagai warisan bangsa tentu tidak harus diwakili oleh ragam bahasa yang tidak keruan itu walaupun kita tidak perlu pula menafikan kewujudannya dan keperluan menggunakannya dalam suasana tidak rasmi. Bahasa yang menjadi warisan bangsa ialah bahasa persuratan, iaitu bahasa yang menjadi tonggak tamadun seperti yang tercermin dalam bidang ilmu, pemikiran, undang-undang, sastera dan sebagainya. Tradisi bahasa persuratan sebagai tonggak tamadun Melayu telah wujud sejak ratusan tahun lampau, khususnya di pusat-pusat tamadun Melayu seperti Melaka, Aceh, Pasai, Patani, Banjarmasin, Riau Johor dan yang lain-lain di bawah kesultanan Melayu. Apabila kita bercakap tentang bahasa Melayu dalam konteks warisan bangsa, rujukan utamanya adalah kepada bahasa persuratan atau bahasa baku dengan tidak pula menafikan kewujudan dan peranan ragam-ragam yang lain dalam konteks kehidupan bermasyarakat.


ANTARA BAHASA ROJAK DAN KATA SERAPAN

Timbul kekeliruan pada sesetengah kalangan yang salah faham akan fenomena bahasa rojak ini. Mereka yang salah faham ini menyamakan fenomena bahasa rojak dengan pengambilan atau penyerapan kata atau istilah asing sehingga timbul tanggapan yang tidak benar kepada golongan yang memperkatakan isu kerancuan bahasa yang secara popular disebut bahasa rojak itu. Timbul dakwaan bahawa orang yang sibuk memperkatakan bahasa rojak sebagai orang yang tidak memahami sejarah perkembangan bahasa dan tidak sedar akan adanya sekian banyak kata daripada bahasa asing dalam bahasa Melayu sejak ratusan tahun lalu. Lebih berat lagi, ada yang menuduh bahawa orang yang memperkatakan bahasa rojak ialah orang yang emosional dan tidak melihat kenyataan di hadapan mata, iaitu tidak sedar akan adanya belasan ribu kata dalam bahasa Melayu yang asalnya daripada bahasa asing. Maka ada pula yang menyarankan agar dijalankan kajian sama ada bahasa Melayu telah menerima kata-kata asing atau tidak. Malah seorang penyanyi dan penggubah lagu sampai mengatakan bahawa ucapan salam dalam bahasa Arab itu menunjukkan bahawa bahasa Melayu memang telah lama menerima kata asing dan oleh itu tidak patut timbul isu bahasa rojak. Sungguh dahsyat kekeliruan yang timbul.

Sebenarnya fenomena penerimaan kata dan istilah daripada bahasa asing tidak ada kaitannya dengan isu bahasa rojak. Kedua-duanya itu merupakan fenomena yang lain sama sekali. Pengambilan kata dan istilah daripada bahasa asing ialah fenomena yang lumrah berlaku dalam mana-mana bahasa dan fenomena itu diterima sebagai fitrah bahasa. Menurut kajian, bagi bahasa Inggeris yang dianggap bahasa yang besar dan hebat itu pun, lebih 60 peratus kosa katanya atau perbendaharaan katanya berasal daripada kata asing. Sememangnya telah menjadi pengetahuan umum bahawa ada kata bahasa Inggeris itu yang diambil daripada bahasa Perancis, bahasa Jerman, bahasa Arab, bahasa Latin dan sebagainya. Bahkan ada kata daripada bahasa Melayu yang telah diserapkan ke dalam kosa kata bahasa Inggeris. Misalnya, kata 'compound', jika menurut Wilkinson, berasal daripada kata 'kampung'. Begitu juga halnya dengan kata 'orang hutan' yang telah diterima masuk ke dalam kosa kata bahasa Inggeris walaupun sebutannya berubah menurut cara orang Inggeris menyebutnya. Ada sejumlah kata yang lain lagi daripada bahasa Melayu yang telah masuk ke dalam kosa kata bahasa Inggeris.

Demikian juga yang terjadi dalam bahasa kita. Seperti yang telah dicatat dalam pelbagai kajian sarjana tempatan dan sarjana dari luar Alam Melayu, bahasa kita pun dari waktu ke waktu menerima sekian banyak kata daripada bahasa asing. Antaranya termasuklah daripada bahasa Sanskrit, Arab, Belanda, Portugis, Sepanyol, China, Tamil dan Parsi.

Sebenarnya, tidak ada salahnya kita mengambil kata daripada bahasa asing untuk tujuan memperkaya ilmu, kebudayaan dan pemikiran bangsa. Hal ini bersesuaian dengan maksud firman Allah dalam ayat 13 Surah al-Hujurat yang dengan jelas menyebut tujuan dijadikan-Nya manusia ini berbangsa-bangsa (bererti wujud pelbagai bahasa), iaitu untuk saling mengenal. Jadi, usaha memanfaatkan kosa kata bahasa bangsa lain itu bagi tujuan meningkatkan ilmu, pemikiran dan kebudayaan, pada hemat saya, termasuk dalam konsep lita`arafu, yang disebut pada hujung ayat Qur’an itu.

Namun demikian, pengaruh bahasa asing itu tentulah diserapkan dan diambil secara sistematik. Maknanya, pengaruh bahasa asing itu ditapis melalui sistem bahasa Melayu, baik dalam hal fonologi mahupun morfologinya, sehingga tidak kelihatan atau kedengaran asing lagi supaya sesuai dengan sifat bahasa Melayu. Akhirnya kosa kata bahasa asing itu diterima pula sebagai sebahagian khazanah bahasa Melayu dan tidak dianggap kata asing lagi.

Hal ini sama sahaja halnya dengan yang berlaku dalam bahasa Inggeris. Sekian banyak kata daripada bahasa Latin, Perancis, Jerman dan Arab yang sudah ditapis menurut sistem bahasa Inggeris, akhirnya kini menjadi milik bahasa Inggeris. Siapakah yang sedar, kecuali ia mengkaji, bahawa sekian banyak kata dan istilah sains dalam bahasa Inggeris banyak yang diambil daripada bahasa Arab? Kata seperti chemistry, algebra, alcohol, arithmetic, sodium asalnya daripada bahasa Arab. Bahkan kata guitar, iaitu sejenis alat muzik itu pun, menurut sarjana yang bernama M.M. Shariff, diambil daripada kata al-qitharah dalam bahasa Arab. Demikian juga banyaknya kata dalam bahasa Inggeris yang asalnya daripada bahasa Latin dan bahasa-bahasa Eropah yang lain.

Dalam bidang linguistik, fenomena pengambilan kata dan istilah daripada bahasa asing itu dinamai peminjaman (borrowing), atau di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), istilah yang digunakan ialah penyerapan atau pengambilan. Menarik tetapi lucu bagaimana kedua-dua istilah itu timbul. Dalam beberapa seminar dan kursus yang dianjurkan oleh DBP, agak kerap ditimbulkan oleh sesetengah orang yang menggunakan logikanya sebagai orang awam tentang kesesuaian istilah peminjaman bahasa itu. Ada yang menyoal: Bilakah agaknya kata-kata yang dipinjam itu akan atau perlu dikembalikan? Walaupun tidak menganggap istilah peminjaman itu salah, barangkali untuk mengelakkan salah faham sesetengah orang, maka DBP, sejak lebih dua dekad yang lalu, memilih istilah penyerapan dan pengambilan.

Dalam mana-mana bahasa pun, fenomena penyerapan dan pengambilan ini memang tidak dapat dan tidak perlu dielakkan. Tujuannya, tidak lain dan tidak bukan, ialah untuk kemajuan bangsa. Namun, fenomena bahasa rojak atau bahasa yang tidak keruan, iaitu yang tidak teratur percampurbaurannya itu, ialah satu ragam bahasa yang tidak menurut sistem. Keseluruhan unsur bahasa asing itu memang dalam bentuk asalnya dan dicampurkan dalam wacana atau ujaran bahasa Melayu, seperti dalam percakapan, mesyuarat, ceramah dan sebagainya. Misalnya, dalam satu ayat yang pada asasnya ayat Melayu, dimasukkan beberapa patah kata bahasa asing atau beberapa frasa bahasa asing sehingga bercampur-baurlah ayat itu antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Fenomena itulah yang dikatakan oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai 'sekerat ular sekerat belut'.

Sebenarnya, jika unsur bahasa asing diambil dan digunakan dengan bersistem, tidak ada masalahnya. Misalnya, kata fenomena. Asal kata ini daripada bahasa Inggeris tetapi setelah diubahsuai ejaan dan sebutannya, kata ini telah diterima menjadi bahasa Melayu. Begitu juga kata sains, teknologi, atom dan ratusan ribu lagi kata dan istilah ilmu yang telah diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Penggunaan kata dan istilah itu tidak wajar dikatakan sebagai bahasa rojak. Kekeliruan ini perlu dijelaskan kepada masyarakat supaya tidak timbul perbalahan yang sia-sia.

Sebenarnya, kajian tentang fenomena pengambilan kata daripada bahasa asing ini sudah begitu banyak dilakukan oleh para sarjana. Oleh itu tidak sepatutnya, walau sesiapa pun, terburu-buru mengatakan bahawa tidak ada kajian yang dijalankan tentang hal tersebut, semata-mata kerana ia tidak mempunyai maklumat atau tidak tahu akan adanya sekian banyak kajian itu. Tentang hal ini saya merujuk kepada ucapan seorang doktor perubatan yang disiarkan dalam salah satu akhbar perdana berbahasa Melayu yang mengatakan bahawa tidak ada kajian tentang kata-kata bahasa asing dalam bahasa Melayu lalu menyeru agar orang yang bercakap tentang bahasa rojak jangan emosional dan hendaklah membuat kajian lebih dahulu. Sehubungan dengan itu, segolongan lagi orang yang salah faham tentang isu bahasa rojak, iaitu yang mengaitkannya dengan pengambilan kata dan istilah daripada bahasa asing, malah menuduh ahli dan pejuang bahasa menutup kemajuan bangsa apabila 'menolak' kata-kata daripada bahasa asing. Sesungguhnya, sangat malang apabila kekeliruan seperti itu berlaku dalam kalangan orang yang berpelajaran. Bayangkanlah, lain isu yang dibicarakan oleh pejuang bahasa, lain pula pemahamannya sehingga timbul dakwaan yang palsu dan ada pula yang bertaraf fitnah.

Perlu juga dijelaskan di sini bahawa bahasa rojak tidak sama juga dengan slanga. Slanga mewakili satu subbudaya yang dapat dipertalikan dengan sesuatu golongan dalam masyarakat yang memiliki beberapa ciri tertentu yang khusus menandai golongan itu. Mungkin disebabkan faktor usia atau faktor lain seperti kelompok atau bidang pekerjaan, mereka mempunyai seakan-akan satu bentuk budaya mereka sendiri yang disebut subbudaya (subculture). Gambaran subbudaya itu pula terpancar pada ragam bahasa yang dikatakan slanga atau slang. Misalnya, remaja dan mahasiswa universiti memang ada slanganya masing-masing.

Selain itu, tidak harus pula penggunaan petikan atau kata hikmat dalam bahasa asing yang dijadikan maklumat pelengkap sesuatu fakta dalam ucapan atau tulisan itu dianggap bahasa rojak. Memang lazim bahawa dalam ucapan dan tulisan, kita memetik kata-kata orang ternama, peribahasa, ungkapan atau kata hikmat yang kadang-kadang sumbernya daripada bahasa asing. Sebaik-baiknya unsur itu kita terjemahkan, tetapi ada kalanya timbul keperluan mengekalkannya dalam bahasa asalnya untuk dihayati susunan bahasanya atau atas sebab lain yang munasabah.

Fenomena menggunakan bahasa Melayu yang bercampur-aduk dengan bahasa Inggeris dalam ayat atau wacana, yang dikenal sebagai bahasa rojak itu dapat diterima sebagai kenyataan dalam kehidupan sehari-hari, selama penggunaannya terbatas dalam suasana tidak rasmi, misalnya dalam perbualan, gurau senda dan sebagainya. Namun, apabila fenomena itu berlaku dalam wacana yang rasmi sifatnya, seperti dalam mesyuarat di jabatan kerajaan, maka telah berlaku kesalahan memilih ragam bahasa yang sesuai dan telah berlaku kepincangan dalam adab berbahasa. Bukankah mesyuarat merupakan salah satu bentuk urusan rasmi kerajaan, yang sepatutnya dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Melayu yang rasmi dan bukan bahasa basahan?

Memang tiada sesiapa pun di dunia ini yang mampu mencapai titik kesempurnaan dalam berbahasa hingga tiada sama sekali terselit unsur bahasa asing. Tiada ahli bahasa mana pun yang mengharapkan keadaan sedemikian. Malah tiada ahli bahasa mana pun yang mampu mencapai kesempurnaan seperti itu. Hal itu bukan isunya. Isunya adalah apabila amat ketara percampurbauran antara bahasa Melayu dengan unsur bahasa asing dalam wacana yang rasmi seperti mesyuarat, ucapan, penyiaran dan sebagainya, maka terjejaslah budaya berbahasa yang sihat, iaitu yang berdasarkan adab seperti yang telah saya jelaskan awal-awal tadi. Setiap ragam bahasa ada tempat, keperluan dan suasananya yang tertentu. Apabila adab berbahasa tidak dijaga, akhirnya yang terhasil ialah bahasa Melayu yang kehilangan sifat dan nilai rasminya, seolah-olah bahasa Melayu hanya bahasa perbualan, bahasa gurau senda dan bahasa untuk berjual beli di pasar sahaja. Hakikatnya adalah bahawa bahasa Melayu ialah bahasa ilmu, bahasa pemikiran, bahasa undang-undang, bahasa seni sastera yang halus, bahasa sains dan bahasa budaya tinggi dan oleh itu patut dipelihara serta diperkukuh ragam bahasa tingginya itu.


IMPLIKASI BAHASA ROJAK KEPADA TAMADUN BANGSA

Saya tidak dapat bersetuju dengan pandangan sesetengah kalangan bahawa isu kerancauan bahasa yang ditandai oleh bahasa rojak itu tidak patut dibesar-besarkan, atas alasan bahawa ada isu yang lebih besar. Ada yang berpendapat bahawa bahasa rojak ialah gejala atau simptom, bukan penyakit.

Yang dikatakannya penyakit yang sebenarnya ialah pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Saya tidak dapat bersetuju dengan pendapat itu, oleh sebab apabila kita melihat sesuatu masalah atau isu, kita perlu melihatnya secara keseluruhan. Misalnya, dalam soal agama ada yang mengatakan soal pakaian sebagai soal sekunder atau soal kedua. Kata sesetengah orang, yang bertudung atau berkopiah pun boleh jadi penjenayah. Jadi, isu besarnya ialah soal akhlak dan sahsiah orang itu. Hal itu memang benar, tetapi kita tidak boleh mendakwa orang yang memperkatakan soal menutup aurat sebagai orang yang berfikiran sempit kerana hal itu pun terangkum dalam agama juga. Maknanya, kita perlu melihat agama itu secara menyeluruh - ada yang fardu ain, ada yang fardu kifayah; kita perlu melihat kedua-duanya.

Tentang soal bahasa pun, apabila kita bercakap tentang soal bahasa rojak, hal itu tidak bererti bahawa perhatian kita tertumpu semata-mata pada bahasa rojak. Pada waktu yang sama dan pada kebanyakan waktu yang lain pun, sebenarnya kita bercakap tentang hal-hal yang lebih besar - soal dasar bahasa, soal adanya jabatan kerajaan yang tidak melaksanakan dasar bahasa, soal kolej swasta tidak mengendahkan bahasa Melayu dalam pengajiannya, soal bahasa Melayu sudah tidak menjadi bahasa penghantar utama lagi dan sebagainya.

Soal itu memang masalah besar, yang dalam rekod perjuangan kita memang selalu kita bincangkan dan selalu kita timbulkan dalam seminar, dalam tulisan, dalam memorandum dan dalam pelbagai wacana yang lain. Tetapi, jangan kerana ada soal besar, soal yang kita anggap kurang penting itu kita lupakan, kerana harus ada keseimbangan antara pelaksanaan dasar bahasa di satu aspek, dengan satu lagi sisi yang penting, iaitu mutu bahasa yang kita perjuangkan itu. Soal mutu bahasa jangan diabaikan, kerana kata pepatah, 'Bahasa jiwa bangsa', 'Bahasa menunjukkan bangsa' dan 'Hilang bahasa lenyaplah bangsa'. Maka itu pada hemat saya kerancuan bahasa pun merupakan penyakit masyarakat dan negara yang perlu ditangani juga di samping kita memperjuangkan pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan.

Kalau bahasa kita diletakkan di mercu pentadbiran dan pendidikan negara, yang tentu kita harapkan ialah bahasa yang baik mutunya, bukan bahasa yang buruk atau yang tidak mencerminkan martabat bahasa itu sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. Bagaimana dapat kita katakan bahasa Melayu ini bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang dan bahasa budaya tinggi kalau mutunya tidak terkawal? Kita tentu tidak mahu hal ini terjadi. Oleh itu, mesti ada keseimbangan. Tentulah kita tidak dapat bersetuju kalau orang hanya bercakap tentang bahasa rojak dan tidak bercakap tentang soal dasar bahasa.

Bagi saya, kita tidak patut meremehkan bahasa yang baik, kerana dalam pertumbuhan dan perkembangan mana-mana tamadun, bahasa yang rasmi dan yang baku itu memang perlu untuk tujuan pemikiran, ilmu dan bidang kehidupan lain yang mencerminkan ketinggian tamadun bangsa itu. Bahasa basahan itu pula kita akui kewujudannya dan fungsinya untuk keperluan perhubungan sehari-hari. Secara mudah, keperluan kita terhadap bahasa yang rasmi samalah halnya dengan keperluan kita terhadap pakaian yang rasmi untuk majlis dan suasana rasmi. Sebaliknya bahasa basahan atau bahasa percakapan kita perlukan juga, sama halnya dengan keperluan kita akan pakaian basahan untuk di rumah dan di tempat lain yang sesuai dengan sifat pakaian itu.

Dari segi sosiolinguistik, ada dua konsep yang penting kita fahami. Pertama, ada ragam bahasa yang dikatakan ‘bahasa terbina’ atau elaborated code, iaitu bahasa yang menjadi tunjang masyarakat moden. Bagi tamadun moden mesti ada bahasa yang terbina itu; barulah dapat berlangsung kehidupan bertamadun yang tergambar dalam bidang ilmu, undang-undang, pentadbiran, penerbitan dan sebagainya. Jelas bahawa semua itu memerlukan ragam bahasa tinggi yang saya sebut 'bahasa terbina' itu, iaitu perlu dirancang sistemnya, baik dalam hal kosa kata, tatabahasa, ejaan, sebutan mahupun larasnya. Bahasa sehari-hari untuk perhubungan biasa tidak mungkin dapat memainkan peranan untuk bidang-bidang itu. Bagi saya, ini bukan soal kecil dan remeh.

Satu lagi ialah yang dikatakan ragam 'bahasa terhad' atau restricted code, iaitu bahasa yang digunakan untuk bidang yang terbatas, iaitu untuk perhubungan mudah dalam kehidupan sehari-hari, seperti perbualan, berjual beli di pasar dan sebagainya. Untuk sekadar hidup dan menjalani kehidupan yang amat sederhana, orang primitif pun dapat hidup dengan sekadar memiliki ragam bahasa terhad itu. Tetapi bagi masyarakat yang maju, ragam bahasa terhad itu tidak mungkin cukup. Hal ini berlaku dalam semua bahasa yang masyarakatnya bertamadun tinggi. Dalam bahasa Arab, ada konsep fusha, iaitu ragam bahasa Arab tinggi. Dalam bahasa Inggeris ada standard English dan Queen's English walaupun tetap ada colloquail English.

Kalau kita bercakap tentang tamadun tinggi, kita tidak boleh meremehkan mutu bahasa. Saya selalu melihatnya sebagai keseimbangan. Kedua-duanya itu mesti diberi penekanan yang sama; dasar bahasa penting dan mutu bahasa pun penting. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan lantang berbicara tentang bahasa Melayu sebagai warisan bangsa dan negara yang perlu diberi perhatian serius. Tentulah yang dimaksudkan oleh beliau itu bukan sekadar bahasa Melayu yang mewariskan pelbagai bentuk sastera yang unggul seperti pepatah-petitih, peribahasa, gurindam, syair, pantun, seloka, teromba, dan hikayat sahaja.

Daripada satu aspek, memang betul bahawa semua bentuk karya sastera itu merupakan warisan bangsa yang patut dihargai dan dihayati, malah disuburkan penggunaannya. Usah sekali-kali kita lupakan dan kita abaikan warisan karya yang menandai ketinggian pemikiran dan estetika bangsa kita itu. Tetapi, kalau kita mengatakan bahasa Melayu itu sebagai warisan bangsa dan negara Malaysia, maka bahasa itu mestilah diberi fungsi sezaman dan fungsi akan datangnya. Jika tidak, konsep warisan itu hanya berkaitan dengan anggapan bahawa bahasa sebagai artifek dan tinggalan untuk dimuziumkan dan diarkibkan.

Jika bahasa Melayu diiktiraf sebagai warisan bangsa, maka warisan itu mestilah sesuatu yang dipandang penting, sesuatu yang hebat dan gemilang. Maka itu, bahasa Melayu mestilah terus diberi peranan dalam kehidupan bertamadun di negara ini, sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ilmu, bahasa undang-undang, bahasa perniagaan dan bahasa pendidikan, sekarang dan akan datang, atau jika kita meminjam slogan parti UMNO, 'dulu, kini dan selamanya'.

Jika peranan itu tidak diberikan, ertinya kita akan menyempitkan konsep warisan itu hanya pada apa-apa yang dihasilkan oleh pujangga dahulu. Kita hanya mengenang-ngenang, kita lagu-lagukan kenang-kenangan manis itu tetapi akhirnya bahasa Melayu tidak berfungsi dalam zaman ini dan akan datang. Bahasa Melayu tidak diberi peranan sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadibran, bahasa undang-undang, bahasa perdagangan dan sebagainya. Itu konsep warisan yang silap, dan oleh sebab itu hal ini adalah antara perkara yang amat kita tekankan dalam perjuangan kita, khususnya dalam kalangan pejuang kebangsaan. Kita perlu memastikan bahawa dalam gelombang globalisasi, bahasa Melayu tidak turun darjatnya menjadi bahasa yang amat lokal atau digunakan oleh sejumlah anggota masyarakat, lebih parah lagi jika yang menggunakannya mewakili golongan yang tidak terpelajar dan berilmu.

Ertinya bahasa Melayu mungkin menjadi bahasa orang kampung sahaja jika tidak diberi peranan sebagai wahana bagi bidang-bidang kehidupan tamadun tinggi. Untuk memenuhi semua peranan itu, tidak mungkin kita menggunakan bahasa yang tidak terkawal mutunya, apatah lagi ragam bahasa yang tidak sama sekali menggambarkan tamadun tinggi kita, seperti bahasa rojak.


KAEDAH MENGATASI BAHASA ROJAK

Pertama, penggunaan bahasa yang baik dan santun hanya dapat dibudayakan melalui pendidikan. Oleh sebab itu semua pihak perlu menjadikan pendidikan sebagai wadah untuk membina sahsiah generasi kita, termasuk dalam soal penggunaan bahasa dan kecintaan kepada bahasa warisan bangsa, sekalipun kita tetap perlu mempelajari dan menguasai bahasa asing. Di sekolah dan di institusi pendidikan yang lain, penekanan perlu diberikan kepada penguasaan bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa rasmi, di samping penguasaan pelbagai ragam lain untuk keperluan dalam kehidupan. Pelajar mesti diberi kekuatan menggunakan bahasa yang baik, teratur dan berkesan.

Anggapan bahawa bahasa Melayu itu begitu mudah hingga tidak perlu dipelajari secara serius harus dikikis dalam kalangan pelajar. Guru pula patut dapat menjadi contoh yang baik dalam hal penggunaan bahasa yang teratur. Di maktab dan di universiti pun penguasaan bahasa yang baik perlu terus diberi penekanan. Tidak patut timbul anggapan salah bahawa pelajar telah belajar bahasa selama 11 tahun di sekolah dan oleh itu di maktab dan di universiti tidak perlu lagi ditekankan kursus bahasa.

Akibatnya ialah kegagalan kita melahirkan lepasan universiti yang mampu berbahasa dengan baik dan berkesan, baik secara lisan mahupun dalam tulisan. Dalam pengalaman saya selama 15 tahun mengajar di universiti, masih besar jumlah mahasiswa yang tidak mampu menulis esei dengan bahasa yang jelas dan kemas. Akhirnya mereka yang tergolong dalam kumpulan ini apabila keluar dari universiti dan masuk ke alam pekerjaan menjadi pegawai atau pengurus yang tidak dapat menulis dokumen dengan baik dan berkesan. Dalam mesyuarat pula, apabila bahasa Melayu tidak dapat dikuasainya dengan baik, maka mulalah mereka mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing, seolah-olah di luar kesedaran bahawa bahasa Melayu yang digunakan dalam mesyuarat itu ialah bahasa rasmi.

Yang kedua, saya menyarankan penguatkuasaan dan pengawasan secara bersepadu oleh semua pihak berwajib untuk memastikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dihormati penggunaannya pada papan iklan, papan perniagaan, nama tempat, jalan, bangunan dan sebagainya. Demikian juga bahasa Melayu hendaklah ditegaskan penggunaannya dalam surat rasmi, mesyuarat, ucapan, taklimat dan sebagainya. Majlis rasmi di peringkat kebangsaan perlu dilangsungkan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Jika ada keperluan menggunakan bahasa asing atas sebab tertentu yang munasabah, maka bahasa Melayu mestilah diutamakan, baik dalam pengacaraan majlis, dalam ucapan dan juga pada latar pentas dan sekitaran majlis. Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini telah menyerahkan draf Garis Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Urusan dan Majlis Rasmi kepada Menteri Pelajaran dan diharapkan agar garis panduan itu dapat diluluskan oleh Jemaah Menteri sebagai panduan penggunaan bahasa yang baik, sama ada daripada sudut pengutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi mahupun daripada sudut mutu bahasa yang digunakan.

Serentak dengan itu, mutu bahasa yang digunakan dalam semua bidang pentadbiran hendaklah dikawal dengan tegas. Dalam bidang pentadbiran, saran saya agak radikal tetapi masih tetap masuk akal. Jika kita dapat menerima sistem penolakan mata oleh Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menghukum pesalah di jalan raya, maka tidak munasabahkah kakitangan kerajaan yang mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dan yang meremehkan penggunan bahasa yang baik dipotong markah kemahirannya dalam penilaian prestasi kerjanya? Tentu langkah itu perlu didahului dengan usaha meningkatkan kemahiran bahasa mereka, sama dengan penekanan yang diberikan dalam kemahiran dalam aspek lain yang berkaitan dengan tugas kakitangan kerajaan.

Dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu, badan atau agensi yang diberi amanah perlu tegas. Sebagai contoh, Undang-undang Kecil Pengiklanan di Tempat Awam mensyaratkan pengutamaaan bahasa Melayu dan bahasa Melayu yang digunakan mestilah yang betul, malah disyaratkan supaya mendapat pengesahan DBP lebih dahulu.

Dalam bidang penyiaran pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bertanggungjawab memastikan garis panduan yang mensyaratkan 60% siaran mestilah dalam bahasa Melayu dipenuhi oleh stesen radio dan televisyen swasta dan di samping itu mestilah dalam bahasa Melayu yang terkawal. Hingga kini, tampaknya mutu bahasa Melayu dalam bidang-bidang itu masih sukar dikawal biarpun DBP menawarkan khidmat nasihat bahasa, memberikan kursus bahasa terus-menerus, mengirimkan surat teguran dan juga memberikan anugerah dan hadiah sebagai pengiktirafan. Kita akuilah hakikat bahawa belum meluas kesedaran dan budaya berbahasa yang baik dan berkesan dalam kalangan sebilangan anggota masyarakat kita. Bahasa sebenarnya belum lagi dihargai sebagai 'jiwa bangsa'. Pantun 'Yang kurik kundi, yang merah saga; yang cantik budi yang indah bahasa' belum sebenar-benarnya dihayati oleh semua orang.

Selain itu, yang jauh lebih penting ialah keazaman politik dalam pelaksanaan dasar bahasa di negara ini. Jika para pemimpin memperlihatkan iltizam yang teguh dan jelas tentang keutamaan bahasa Melayu dan tentang mutu bahasa Melayu dalam ranah-ranah utama kehidupan di negara ini, maka saya yakin bahawa semua jabatan kerajaan dan pihak lain akan bersungguh-sungguh melaksanakan bahasa kebangsaan dan pada waktu yang sama peka akan mutu bahasa yang digunakan. Kita berdoalah bersama-sama agar iltizam Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai warisan bangsa dan negara yang agung menjadi kenyataan dan didukung oleh semua pihak, terutama pucuk pimpinan negara sendiri.


PENUTUP

Bahasa Melayu telah menjadi bahasa yang besar dan diiktiraf oleh dunia sebagai bahasa antarabangsa pada suatu zaman dahulu. Sepatah kata Francois Valentyn, iaitu sarjana Belanda yang menulis sejarah bangsa di bahagian timur dunia pada abad ke-18, bahasa Melayu sungguh luas daerah penggunaannya hingga sesiapa jua yang datang ke alam Melayu perlu mempelajari dan menguasainya; malah orang yang tidak menguasainya dianggap orang yang tidak terpelajar. Demkian juga, bahasa Melayu telah menjadi bahasa hubungan diplomatik apabila segala surat dan perjanjian antara kerajaan di alam Melayu dengan kerajaan atau pihak lain di luar alam Melayu semuanya ditulis dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi.

Tentulah yang menjadikan bahasa Melayu demikian besarnya itu ialah bahasa yang teratur, terkawal dan berkesan pula, iaitu bahasa yang baku dan rasmi. Hakikat ini perlu dipertahankan jika kita hendak menjadikan bahasa Melayu bahasa yang mampu menjadi bahasa dunia moden. Usahlah diturunkan darjat bahasa Melayu yang sudah mencapai taraf bahasa tinggi itu dengan mencemarkannya, atas nama perkembangan bahasa, fesyen semasa atau kebebasan dan hak asasi menggunakan bahasa.
Dipetik daripada: Dr. Awang Sariyan


“.. Apa dia itu bahasa rojak? Setiap bahasa mempunyai hubungan dan pinjaman bahasa-bahasa lain...”

Profesor Ahmad Murad dari Universiti Teknologi Mara, Kuala Lumpur.

Stesen TV3 di Malaysia, akan menukar salah satu daripada tajuk program mereka, Karnival Sure Heboh. Tajuk itu kini dirasakan kurang sesuai; satu contoh bahasa rojak, topik yang sedang mendapat perhatian di negara seberang tambak. Pemerintah Malaysia bercadang mengenalkan perundangan untuk memastikan Bahasa Melayu tidak terus dicemari. Apakah langkah ini perlu? Dan jika dilaksanakan apakah ia akan berkesan? Analisa meninjau.

‘Dorang’, ‘kitorang’ , ‘glamour’, ‘line-up’ .. sebahagian kekata seharian yang kini dianggap sebagai bahasa rojak, perkataan Melayu yang direka-reka atau dipendekkan ataupun kekata yang diambil dari bahasa asing, kebanyakannya Inggris. Beberapa pihak telah menyuarakan ketidak senangan terhadap tren ini dan ingin penggunaan bahasa Melayu di sana diperketatkan.

Selain dari stesen TV3 yang akan memberitahu tajuk program mereka yang baru Sabtu ini, satu lagi usulan yang baru sahaja dilaporkan di Utusan Malaysia, agar nama jalan di Putrajaya diubah ke bahasa Melayu. Menurut Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dr Rais Yatim, yang akan menghantar usulan rasmi itu, nama-nama jalan di Putrajaya seharusnya ‘berpandukan kepada istilah-istilah warisan negara’ dan bukan menggunakan nama-nama Barat seperti Precinct, Boulevard dan Parcel.

Ini lanjutan pengumuman Menteri Pendidikan Hishammudin Hussein, minggu lalu, bahawa mungkin pihak pemerintah akan menggunakan perundangan untuk menguatkan lagi bahasa kebangsaan mereka.

Jadi apakah sebenarnya definasi ‘bahasa rojak itu?

Profesor Datin Dr Rahmah Hj Bujang dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

“Sebenarnya bahasa rojak itu bagaimana untuk mentafsirkannya. Kalau dalam konteks teknologi sekarang, bahasa yang seperti bahasa sms, bahasa melalui emel itu pun bahasa rojak, sebab dia sudah jadi macam formula. Adakah bahasa rojak itu bahasa yang disesuaikan dengan teknologi masa kini yang ringkas-ringkas aja tu ataupun bahasa rojak yang dicampur-campur bahasa-bahasa lain tapi bukan melambangkan kemajuan yang baik.”

Profesor Datin Dr Rahmah Hj Bujang dari Universiti Malaya.

Ada saranan yang menganjurkan kuasa diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, badan pemerintah yang memantau kegunaan bahasa melayu di Malaysia, untuk menguatkuasakan perundangan yang mungkin diperkenalkan oleh Kementrian Pendidikan kelak.

Namun apakah semua ini perlu? Dan sejauh mana perundangan ini akan berkesan?

“Pertumbuhan bahasa tidak bergantung kepada perundangan. Tapi seperti di Malaysia, di dalam keadaan begini, perlu terdapat satu agensi penguatkuasaan. Dari segi menguatkuasakan penggunaan bahasa dalam ruang-ruang tertentu, terutama sekali dalam ruang-ruang public kerana bahasa itu didedahkan kepada orang awam. Seperti bahasa di dalam iklan, signage-signage tertentu. Undang-undang itu mesti spell-out konteks-konteks di mana bahasa itu digunakan secara salah.

Profesor Ahmad Murad dari Universiti Teknologi Mara, Kuala Lumpur

Dewan Bahasa dan Pustaka disarankan diberi kuasa untuk menyaman pihak-pihak seperti agensi periklanan, syarikat-syarikat cetak dan stesen-stesen television, yang salah menggunakan Bahasa Melayu. Apakah sistem kawalan seperti ini berkesan bagi memantau pihak media, di manakah kelemahannya?

Profesor Ahmad Murad dari Universiti Teknologi Mara, kembali menjelaskan :

“Perundangan ini boleh diguna-pakai untuk penulisan dari segi pencetakan dan penulisan bahasa. Tapi kalau bahasa lisan, ini agak sukar. Sebab kita tidak boleh mengawal perhubungan lisan di antara masyarakat. Dan kita tidak boleh juga dari satu segi, rancangan-rancangan yang berkontekskan sesuatu isu, satu sub-group yang menggunakan bahasa rojak.”

Profesor Ahmad Murad dari Universiti Teknologi Mara, Kuala Lumpur.

“Tapi sebenarnya bahasa rojak ini satu fenomenan semasa. Kalau hanya fenomenan yang biasa sebagai proses pembesaran, atau proses pendidikan, itu tidak apa, boleh terima tetapi kalau sudah menjadi satu fenomenan yang boleh menyebabkan bahasa itu jadi bahasa dalam buku bertaraf pendidikan, itu bahaya juga.”

Seperti yang dikatakan Profesor Dr Rahmah tadi, fenomena bahasa rojak ini adalah sebahagian daripada budaya generasi kini, yang susah untuk dikekang, disebabkan pengaruh teknologi dan pendedahan kepada budaya asing. Namun langkah-langkah tetap perlu diambil agar ada kesedaran di kalangan generasi muda untuk tidak melupakan bahasa dan budaya mereka yang sebenar – dan yang tidak seharusnya pupus pada masa hadapan.

Bicara Karyawan: Antara yang Dikendong dengan yang Dikejar
[Oleh Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah]
SECARA amnya, apa ‘yang dikendong dan yang dikejar’ manusia dalam kehidupan sosialnya, dapat dikelompokkan kepada tiga perkara utama. Pertama, kekuasaan politik dan kedudukan strategik; kedua, kekayaan sumber dan kuasa ekonomi dan ketiga, keperkasaan atau penguasaan nilai dan kebudayaan.

Dari segi kebudayaan bolehlah dikatakan secara am prestasi bangsa Melayu itu seakan-akan menepati kata peribahasa ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.’ Daripada pelbagai strata sosial, pada amnya orang Melayu sedang menghadapi krisis identiti dan krisis nilai yang sama ertinya dengan krisis kebudayaan.

Manifestasi krisis ini dapat dilihat dalam gaya hidup mereka secara peribadi, pada peringkat institusi keluarga dan pada peringkat kehidupan bermasyarakat yang lebih luas. Semua ini boleh dianggap sebagai kegagalan kita menjadi satu bangsa moden tanpa mengorbankan jati diri dan inti tamadun yang kita warisi.

Fenomena bahasa rojak adalah antara contoh yang paling jelas memperlihatkan ‘gagalnya usaha untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik’ (yang dikejar tak dapat) dan gagal juga untuk berbahasa Melayu dengan baik (yang dikendong mula tercicir).

Pada suatu waktu dahulu, kita mempunyai mimpi indah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengucapan budaya tinggi.

Kita mengimpikan bahasa Melayu itu akan menjadi satu bahasa moden yang lengkap serta dapat menggarap konsep-konsep abstrak dan canggih. Kita mengimpikan bahasa Melayu itu menjadi bahasa penyatuan yang menjadi jiwa bangsa dan kebanggaan negara. Kita mengimpikan bahasa Melayu itu akan menjadi bahasa sastera yang tinggi, bersih daripada pencemaran loghat dan nahu. Kita mengimpikan bahasa Melayu itu menjadi bahasa komunikasi yang berkesan pada setiap strata sosial dan dalam semua bidang. Tetapi ternyata, mimpi-mimpi indah itu kini menjadi igauan yang mengganggu tidur kita.

Semua ini mengingatkan saya kepada pandangan seorang cendekiawan di Utusan Malaysia suatu masa dahulu, bahawa “usaha memodenkan budaya dan bahasa Melayu kurang berhasil, bukan sahaja kerana gangguan yang berterusan daripada golongan yang terus-menerus menentangnya, tetapi juga oleh golongan menengah dan atasan Melayu sendiri.

Golongan ini secara menyeluruh tidak pernah menjadi ejen yang teguh lagi berkesan terhadap proses pemodenan bahasa Melayu, sebaliknya golongan inilah yang selalu meragui kemampuan bahasa itu menjadi sebahagian daripada unsur pengucapan moden."

Fenomena bahasa rojak yang diibaratkan sebagai ‘bahasa sekerat ular sekerat belut’ oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Y. B. Dato' Dr. Rais Yatim, merupakan satu gejala krisis identiti yang serius. Krisis identiti ini merupakan sebahagian daripada krisis kebudayaan yang meliputi krisis nilai yang lambat laun boleh menyebabkan kita kehilangan hala tuju dalam kehidupan sosial dan rohaniah.

Kecelaruan Bahasa Rojak
Ahad, May 02, 2004
Source : Mingguan Malaysia

MENURUT Pendita Za'ba, dalam bahasa Melayu terdapat hanya tiga perkataan yang tidak berasal daripada bahasa lain, yakni benar-benar perkataan Melayu. Tiga perkataan itu ialah batu, babi dan kayu.

R.O Winstedt pula menambah dua lagi perkataan, iaitu padi dan besi.

Disebabkan Awang bukan pakar atau pengkaji bahasa, maka tidaklah Awang tahu sama ada perkataan Melayu tulen masih kekal lima, atau sudah bertambah.

Misalnya, anak-anak muda suka menggunakan perkataan cun. Awang tidak tahu cun berasal daripada bahasa apa. Mungkin sekadar bahasa tepi jalan.

Menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga), cun ialah kata yang mengandungi konotasi padan, anggun dan sebagainya untuk dikaitkan dengan sesuatu sifat seperti merdu, cantik. Ia adalah bahasa percakapan.

Apakah cun perkataan Melayu tulen, atau juga dicedok daripada bahasa lain? Begitu juga banyak perkataan lain yang digunakan oleh generasi baru dalam percakapan harian.

Bolehkah lama kelamaan ia dipakai dalam penulisan? Andainya pelajar menggunakannya dalam karangan peperiksaan, adakah pemeriksa kertas jawapan akan memotong markah? Jika begitu, adakah pengunaannya boleh dikategorikan sebagai bahasa rojak?

Awang bertanya kerana ternyata perbahasan mengenai bahasa rojak turut merojakkan fikiran mereka yang memberikan pandangan. Ada yang menghujah betapa bahasa Melayu itu sendiri berkembang dengan mencedok begitu banyak istilah asing melalui pengaruh bangsa-bangsa lain di alam Melayu. Jadi kenapa perlu dirisaukan tentang bahasa rojak?

Sebenarnya kesemua bahasa berkembang seperti bahasa Melayu dengan mencedok istilah daripada bahasa lain. Hakikat ini tidak perlu dipertikaikan dan tidak sepatutnya ditimbulkan dalam membincangkan isu bahasa rojak.

Bahasa rojak yang dimaksudkan dalam isu sekarang ialah campuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam penulisan dan pertuturan. Misalnya perkataan SureHeboh. Kenapa tidak digunakan PastiHeboh. Sure adalah perkataan Inggeris yang tidak pernah diterima pakai dalam bahasa Melayu.

Ada banyak perkataan Inggeris yang diterima pakai, tetapi diubah ejaannya. Misalnya commitment dieja komitmen.

Bahasa rojak menjadi isu kerana semakin kerap digunakan dalam program radio, TV dan di majlis-majlis rasmi.

Mereka yang risau dengan perkembangan ini tentulah lega sedikit apabila diumumkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diberi kuasa penguatkuasaan bagi menangani segala kepincangan.

Tahniah kepada DBP! Walaupun agak terlewat sedikit, tetapi Awang percaya nasi belum menjadi bubur. Cuma bersedialah DBP untuk menjalankan tugas yang lebih mencabar daripada apa yang telah dilakukan sebelum ini.

Kategori Berita : Pelbagai

Testimoni Biodisc

BOIKOT YAHUDI

BOIKOT YAHUDI

E-Jariah Mudah dan hebat

contact me

My Social : http://matskai.ning.com

 

©2009  Financial Freedom | Template Blue by TNB