ANDA BOLEH IKLAN APAN SAHAJA BIZ, JAWATAN KOSONG, DAN APA SAJA KAT SINI

BBM3401 - BAHASA MELAYU TINGGI (KERACUAN BAHASA)

|

KERACUAN BAHASA DAN KESANNYA TERHADAP PROSES PEMBAKUAN BAHASA MELAYU

1.0 Pendahuluan

Bahasa mengambarkan jiwa bangsa, itulah kata pujanga yang selalu kita dengar. Walaupun demikian sejauh manakah kita sebagai rakyat Malaysia mengotakan dan mengambil tauladan daripada kata-kata itu. Sebenarnya banyak perkara yang kita terlupa atau sengaja melupakan seketika, padahal perkara yang kita lupakan itu adalah amat penting dalam memartabatkan bangsa kita. Dalam kertas kerja ini saya cuba menjelaskan sejauh manakah kepincangan bahasa melayu apabila penuturnya tidak mengunakan bahasa yang betul atau lebih dikenali sebagai keracuan bahasa.

1.1 Pengenalan
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Indonesia (dikenali sebagai Bahasa Indonesia), Malaysia, Brunei Darussalam, dan Singapura. Di Timor Timur, Indonesia (sekarang Timor Leste), bahasa Melayu digunakan sebagai salah satu "bahasa kerja" (working language). Kelainan Bahasa Melayu juga ditutur di daerah yang mempunyai bangsa Melayu wujud, seperti di selatan Thailand, selatan Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.

Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu.

Bahasa Melayu kini telah berkembang begitu pesat dan mendadak sehingga ramai pengguna bahasa Melayu menghadapi kesulitan untuk mengikuti arus perkembangan tersebut. Salah satu perkembangan yang wujud dalam perkembangan bahasa Melayu ialah pembakuan bahasa.

Walaupun bahasa baku telah diperkenalkan di negara kita pada tahun 1988 lagi namun, masyarakat kita khususnya mereka yang berpendidikan belum lagi menghayati penggunaaan bahasa baku dalam kehidupan seharian atau sekurang-kurangnya dalam urusan-urusan rasmi walaupun statusnya sebagai bahasa kebangsaan . Apa yang nyata penggunaan bahasa baku amat rendah dan lebih malang lagi ia telah dicampuradukkan dengan pelbagai bahasa yang telah merosakkan sama sekali bahasa tersebut samada dari segi istilah, ejaan dan juga tatabahasanya. Keracuan yang berlaku ini menyebabkan timbulnya masalah dalam usaha proses pembakuan bahasa ini.

1.2 Objektif kertas kerja ini ialah :
1.2.1 Menghuraikan konsep keracuan bahasa dan pembakuan bahasa.
1.2.2 Menghuraikan keracuan bahasa yang timbul dalam proses
pembakuan bahasa
1.2.3 Mengkaji kesan – kesan keracuan bahasa terhadap proses
pembakuan bahasa .

1.3 Kaedah
Dalam membuat kajian ini pengkaji menggunakan kaedah perpustakaan dengan merujuk buku – buku dan kertas kerja serta jurnal-jurnal di perpustakaan.

1.4 Batasan
Dalam membuat kertas kerja ini pengkaji cuba mengkaji konsep
pembakuan bahasa Melayu, sebab-sebab berlaku keracuan bahasa baku dan kesannya terhadap bahasa Melayu Baku.

1.5 Definisi Konsep
Keracuan menunjukan penggunaan sesuatu yang bercampur aduk antara dua atau lebih item tertentu. Dalam aspek bahasa keracuan menunjukan pencampuran, pengalihan kod bahasa dan perkataan dari bahasa berlainan atau dialek teretentu.

Menurut KAMUS Dewan Edisi Ketiga mentakrifkan perkataan bakusebagai “ sesuatu yang pokok, yang dasar, yang benar”.Kata itu diertikan sebagai “ sesuatu yang sudah diterima sebagai betul dan sah ( bentuk, sifat dan lain – lain ) dan dapat dijadikan asas perbandingan bagi bentuk dan sebagainya’’ ( berkenaan bahasa , ejaan, dan
sebagainya).

Menurut Marzuki Nyak Abdullah dalam bukunya Kamus Tatabahasa Bahasa Melayu (1997), bahasa baku bermaksud “ Bentuk bahasa yang diterima untuk digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam perundangan , pentadbiran, persekolahan, pengajian tinggi, dan alat sebaran am’’. Bahasa Melayu baku ialah variasi yang dianggap standard berbanding dengan variasi lain dalam pertuturanbahasa Melayu.

Beberapa pendapat dikemukakan berhubung takrif bahasa baku dikumpulkan oleh Awang Sariyan (1984). Antaranya ialah :
a. Bahasa baku ialah kelainan bahasa yang menggambarkan keragaman dalam bentuk dan fungsi (E. Haugen, 1996).
b. Bahasa baku ialah satu bentuk bahasa yang dikodifikasikan, diterima dan dijadikan model oleh kelompok penutur yang lebih besar ( Garvin & Mathiot,
1996 ).

2.0. Konsep Pembakuan Bahasa

Konsep pembakuan bahasa terbit daripada keperluan yang praktikal. Bahasa bukan sahaja bertindak sebagai lambang penyatuan, tetapi berfungsi sebagai alat yang melambangkan pengasingan apabila dikaitkan dengan nasionalisme. Ragam bahasa baku menekankan kerapian, kejelasan, dan ketepatan baik alam susunan mahupun makna.

Bahasa baku menjalankan fungsinya dalam pelbagai bidang. Fungsinya yang paling besar ialah menjadi bahasa pentadbiran, bahasa pendidikan atau ilmu, dan bahasa kesusasteraan. Dengan demikian bahasa baku mengalami proses kecendekiaan untuk memastikan fungsinya itu berkesan. Kecendekiaan bahasa ialah proses yang menyediakan sesuatu bahasa untuk membolehkannya membuat kenyataan-kenyataan yang tegas dan cekap. Maksudnya, bahasa itu mestilah berupaya untuk menyatakan idea yang kompleks dengan teratur dan licin, melalui kosa kata dan perkataan yang tepat dan berkesan. .
Oleh sebab penggunaan jenis bahasa baku ini berlaku dalam situasi rasmi, maka perlulah ditentukan sifat bahasa ini benar-benar seragam dan mantap pula penggunaannya.Proses pembakuan bahasa berlaku pada banyak tahap antaranya tahap pembakuan sistem tulisan, pembakuan sistem ejaan, pembakuan kosa kata, pembakuan
tatabahasa dan pembakuan sebutan

2.1 Pembakuan Sistem Tulisan

Bagi bahasa Melayu, pembakuan dalam sistem tulisan berlaku apabila kita memutuskan untuk menerima sistem tulisan Rumi sebagai sistem tulisan rasmi bagi bahasa kita, walaupun sistem tulisan Jawi tetap digalakkan. Proses pembakuan ini dilakukan melalui pernyataan dalam perlembagaan persekutuan.



2.3 Pembakuan Sistem Ejaan

Pembakuan sistem ejaan ialah proses yang menentukan sistem ejaan sesuatu bahasa itu bersifat baik dan mantap. Bagi tulisan Rumi bahasa kita, tahap pembakuan yang terakhir adalah pada tahun 1972, apabila kita ( bersama-sama Indonesia) bersetuju untuk menerima sistem penggunaan ejaan baharu.

2.4 Pembakuan Tatabahasa dan Kosa Kata

Demikianlah juga halnya bagi proses pembakuan pada tahap yang lain,Misalnya pada tahap kosa kata dan tatabahasa. Dalam bidang tatabahasa, misalnya penghasilan buku tatabahasa yang diterima sebagai buku rujukan asas bagi kegunaan di sekolah dan oleh orang ramai ( misalnya buku “tatabahasa Dewan”) adalah satu aspek pembakuan bahasa. Rumusan yang dibuat dalam buku itu menjadi asas rujukan oleh guru dan pelajar,
serta ahli masyarakat lain.

2.5 Pembakuan Sebutan

Pada amnya, boleh dikatakan bahawa bahasa Melayu telah mantap dari segi proses pembakuannya. Sudah wujud bahasa Melayu baku dari segi sistem tulisan, ejaan rasmi, kosa kata dan tatabahasa. Pembakuan sebutan sahaja yang masih belum mantap, kerana aspek ini susah untuk dicapai. Namun, usaha untuk menyeragamkan aspek sebutan sudah dimulakan sejak tahun 1989, iaitu kira-kira 19 tahun dahulu. Dalam masa yang agak panjang itu, proses itu telah berjalan dengan baik, dan jika tidak diusik oleh
mana-mana pihak pasti ia akan berhasil.

Demikianlah huraian ringkas mengenai proses pembakuan bahasa, dengan rujukan khusus kepada bahasa kebangsaan kita. Yang perlu disedari ialah, bahasa kita sudah hampir mantap dari segi pembakuannya, yang masih belum mantap ialah aspek sebutannya. Mudah-mudahan proses ini akan sempurna tidak lama lagi.

3.0 PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA KERACUAN BAHASA

3.1 Penggunaan Bahasa Slanga
Kamus Dwibahasa mendefinisikan slanga sebagai kata-kata,ungkapan dan lain-lain yang biasa digunakan dalam percakapan sahaja dan tidak sesuai digunakan dalam penulisan. Bahasa ini biasanya digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk tujuan berkomunikasi. Kata –kata slanga ini biasanya diambil daripada kata-kata biasa dan diberi erti tertentu sehingga orang yang bukan ahli kumpulan tersebut tidak akan memahaminya. Aspek geografi memainkan peranan penting dalam pengwujudan slanga ini. Umpamanya bagi perkataan saya dan awak, perkataan yang kerap digunakan ialah gua dan lu bagi negeri-negeri seperti Selangor, Johor dan Kuala Lumpur. Bagi Kedah dan Pulau Pinang ialah aku dan hang. Di Kelantan pula kawe dan demo. Bagi golongan yang berpendidikan pula, istilah yang selalu digunakan ialah I dan you.
Contoh bahasa slanga :
a. Fulamak, lagu baru Ramli Sarip mantaplah brader. Dia punya goreng sikit punya garing, gua tangkap lentuk, gua cakap lu. (Berita Minggu, 8 April 1990 ).

3.2 Penggunaan Bahasa Basahan
Bahasa basahan atau bahasa tidak formal biasanya digunakan dalam pertuturan seharian. Za’ba menggunakan istilah bahasa cakap mulut untuk menjelaskan bahasa basahan ini. Disebabkan sifatnya yang tidak formal, maka bahasa basahan yang digunakan banyak dipengaruhi bahasa-bahasa daerah..
Bahasa basahan ini juga ditandai dengan struktur ayat yang lebih pendek. Umpamanya ayat, Kamu hendak ke mana akan menjadi , Nak ke mana? Atau Awak sudah makan atau belum akan menjadi Dah makan belum !
Selain itu bahasa basahan ini juga tidak mementingkan kegramatisan ayat atau tatabahasa. Soal ayat tergantung, ayat tidak mempunyai subjek atau predikat, perkataan tidak sesuai dan sebagainya jarang diambil perhatian. Yang penting ialah orang lain memahami apa yang diperkatakan . Contoh :
Bila awak hendak mendirikan rumahtangga? - Bila nak kahwin?
Bila sekolah akan dibuka semula? - Sekolah bila buka?

3.3 Penggunaan Bahasa Pasar
Bahasa pasar adalah bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu di negara ini. Ia dianggap variasi bahasa Melayu kerana susuk atau bentuk bahasa Melayu yang digunakan dalam perbualan antara orang Melayu dengan bangsa lain, masih lagi menggunakan bahasa Melayu

Sesetengah daripada ungkapan atau perkataan daripada bahasa pasar ini telah meresap masuk ke dalam bahasa Melayu sehingga kebanyakan orang tidak mengetahui bahawa bahasa itu berasal daripada bahasa pasar, bukannya bahasa Melayu yang sebenar. Antaranya ialah ungkapan :
Apa boleh buat, apa mau, kasi tau , banyak mahal , sedikit masa , cukup pandai , jangan bilang sama dia , ini orang , dia punya rumah , nanti sikit jam , itu macam la , saya punya anak.

3.4 Penggunaan Bahasa Rojak

Bahasa rojak ini sebenarnya berkait rapat dengan mentaliti dan tanggapan rakyat Malaysia sendiri terhadap bahasa.Jika diperhatikan, penggunaan bahasa rojak lebih selesa dan agak seronok untuk dipertuturkan.Ini adalah kerana, jika bercakap secara bahasa malaysia formal,kita dapat merasakan kebanyakan masyarakat tidak mahu dirinya dilihat sebagai seorang yang terlalu formal.


Kita akan berasa ralat apabila kita dengar orang berkata,"boleh saya pinjam telefon bimbit saudara?", tetapi kita akan lebih selesa dengan "Boleh I pinjam u punye handphone tak?".Atau pun,"saya akan sambung pelajaran membuat ijazah," tetapi kita akan lebih selesa dengan, "I akan sambung degree".

Kedua dua contoh tadi boleh lah menunjukkan bahawa kebanyakan kita menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan seharian. Mungkin ada pihak yang menaikkan isu ini kerana 'geli' mendengar bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris diperadukkan..Cuma yang menjadi isu ialah, ditakuti bahasa rojak ini telah terbawa- bawa dalam penulisan atau bahasa persuratan.Dan ini jelas sepatutnya tidak boleh berlaku untuk mendaulatkan keaslian bahasa .
Selain itu , kita juga dapat melihat deretan papan – papan tanda ataupun papan-papan iklan di pelusuk negara yang secara terang dan jelas telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu. Di plaza tol lebuhraya kini terdapat bahasa papan tanda yang berbunyi, ‘” Lorong Touch ‘n Go’’. Bahasa apakah ini?. Inilah bahasa rojak rasmi. Inilah juga yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak pandai menuras. Satu kerja yang memalukan bangsa sendiri. Kenapa tidak dipakai saja istilah ‘’ Lorong pacu segera’’ atau ‘’ Lorong tekan & pacu’’. Secara jelas penggunaan bahasa Melayu di perkotak- katikkan.

\


3.5 Penggunaan bahasa Melayu yang salah dalam media massa

Memang tidak dinafikan bahawa media elektronik seperti radio dan televisyen sepatutnya memainkan peranan yang penting usaha pihak kerajaan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu baku. Malangnya , di radio dan televisyen Malaysia, kerap kali juga kita mendengar orang menyebut sesuatu perkataan atau ayat yang tidak tepat atau salah sama sekali sehinggakan maknanya berubah jikalau disebut salah. Misalnya :

tempoh dengan tempuh
selok dengan seluk
lewat dengan liwat
cucuk dengan cocok
golongan dengan gulungan

Selain itu terdapat juga kesilapan seperti mengulangi kata jamak ‘mereka’ sebagai ‘mereka-mereka’ atau ‘para guru’ sebagai ‘para-para guru’.

3.6 Pemendekkan kata-kata atau istilah dalam Internet

Dewasa ini sekiranya kita singkap lelaman di internet terutamanya lelaman ‘email’ dan ‘ chat’ kita mungkin akan terperanjat tatkala melihat betapa ramainya atau boleh dikatakan hampir kesemua pengunjung lelaman itu mengeksploitasikan kemudahan bahasa tulisan tersebut dengan pelbagai bahasa tulisan yang serba luas. Perkataan – perkataan seperti Kang ( nanti ), dowang ( mereka ), wokay
( baiklah ), chat ( sihat ) dan pelbagai lagi kependekan sukukata yang digunakan.

Contoh Penggunaan Akronim Bahasa Melayu di Ruang Siber

Kependekan item kerana pengguguran Maksud dalam bahasa Melayu
amik ambil
tau tahu
sapa siapa
aje sahaja
sket sikit
iter cerita
paun tahun
enin pening


4.0 KERACUAN BAHASA MELAYU DAN KESAN KEPADA
PEMBAKUAN BAHASA

Keracuan terhadap bahasa Melayu sememangnya banyak memberikan kesan yang buruk kepada pembakuan bahasa yang telah diterapkan oleh kerajaan sejak lama dulu. Kita tidak menafikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, telah digunakan dengan meluasnya dalam semua urusan samada urusan rasmi ataupun tidak rasmi, khususnya di sektor perkhidmatan awam. Hal ini terbukti daripada dokumen, peraturan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh kementerian atau jabatan yang hampir kesemuanya menggunakan bahasa kebangsaan. Namun demikian, satu hal yang perlu kita berikan perhatian adalah kualiti bahasa yang digunakan masih bercelaru dan tidak mantap dari segi strukturnya Oleh itu semua pengguna bahasa kebangsaan perlu mempamerkan keterampilan berbahasa demi komunikasi yang berkesan iaitu yang mampu menggunakan bahasa yang mematuhi semua aspek tatabahasa dan sebutan, hingga difahami dengan jelas oleh orang yang membaca atau mendengarnya
Terdapat pelbagai kesan yang timbul ekoran daripada penggunaan bahasa yang dicampuradukkan dengan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris dalam penggunaan seharian samada dari segi tulisan, sebutan dan juga pembacaan.

4.1 Kemerosotan Mutu Bahasa Melayu Lisan Dan Tulisan

“ Bahasa Jiwa Bangsa’’. Sungguh elok dan merdu bunyi. Rangkaikata yang sememangnya sering bermain difikiran dan menjadi bualan masyarakat negara kita.Tetapi adakah isi yang tersirat disebalik tiga patah perkataan itu seindah sebutannya.Kalau dikaji susunan ayat tadi sememangnya dapat membangkitkan semangat kecintaan terhadap bahasa kita
Mutakhir ini, bahasa yang kita agungkan selama ini nampaknya semakin hari semakin tercemar oleh penggunaan campuraduk dengan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris.Keracuan bahasa ini dapat kita lihat dan dibaca saban hari samaada di dada –dada majalah, rancangan- rancangan yang disiarkan di televisyen yang tidak pernah jemu menggunakan bahasa melayu yang telah dicampuradukkan penggunaannya dengan kata-kata pinjaman dari bahasa lain. Rangkap kata atau ucapan seperti “ U kat mana’’ dan “ I still sayang u’’ sememangnya digunakan secara meluas terutamanya dalam siaran drama- drama melayu. Penggunaannya telah menular dan tersebar ke segenap masyarakat yang menggunakannya sebagai bahasa perbualan seharian.

4.2 Masalah Pembinaan Masyarakat Berwawasan

Bahasa merupakan alat untuk menyampaikan mesej dalam apa jua bentuk komunikasi, samaada secara lisan mahupun melalui tulisan. Mesej dan bahasa yang terang dan jelas akan memudahkan seseorang untuk memahami isi penyampaiannya. Namun begitu sekiranya bahasa yang digunakan telah dicampuradukkan dengan bahasa lain kadang- kadang ia membawa mesej yang sebaliknya.

Dalam kontek ini peranan bahasa dalam penulisan majalah atau buku begitu memberikan kesan kepada pembaca.Akan tetapi sekiranya berlaku keracuan bahasa dalam penyampaiannya sudah pasti ia akan mencemarkan penulisan tersebut. Melalui majalah, pembaca akan dapat merujuk dan mempelajari perkataan, penggunaan ayat dan istilah yang betul..Namun begitu apa yang menyedihkan ialah rata-rata majalah di Malaysia tidak menititberatkan unsur bahasanya. Banyak bahasa- bahasa lain seperti bahasa Cina, bahasa Arab, dan bahasa Inggeris telah digunapakai. Situasi ini akan menyebabkan pembaca terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja akan terpengaruh dengan penggunaan bahasa tersebut.

Selain itu ,terdapat juga penggunaan laras bahasa yang dicampuradukkan dengan bahasa tertentu yang tidak sesuai dalam konteks penggunaanya. Kesan campuraduk bahasa ini semakin ketara kerana mutu bahasa yang digunakan amat rendah. Keadaan ini sudah semestinya tidak akan dapat membina minda masyarakat untuk maju dan mengejar kemajuan.

4.3 Kedudukan Bahasa Melayu Akan Terjejas

Dasar Bahasa Kebangsaan yang meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi sememangnya secara jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, Peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan itulah yang mendasari proses perkembangan bahasa dan menjadikanya cukup kuat dan terserlah.Tidak dinafikan prestasi bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan amat baik. Namun begitu sejak kebelakangan ini bahasa yang kita agungkan ini mula dicemari oleh anasir – anasir dari luar .

Perbuatan memendekkan kata- kata atau ayat ini kadangkala akan melahirkan makna yang berbeza. Misal dalam bahasa Melayu penggunaan kata gantinama telah diubahsuai seperti sayer ( saya ), dier ( dia), korang ( kamu ), nko ( engkau) dan banyak lagi. Sudah tentu ayat – ayat yang diberikan di atas pasti akan mencemarkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan. Situasi ini sekiranya tidak dibendung ia akan menjadi barah dalam masyarakat kita dan sudah tentu akan memudaratkan pengguna dan nilai bahasa itu sendiri.

Perkara ini akan menjadi bertambah genting apabila pengguna- pengguna internet ini gagal membezakan penggunaan bahasa di internet dan di luar internet.Ini akan berlaku apabila mereka ini menggunakan istilah-istilah, pemendekan ayat dan ayat- ayat di ruang siber dalam perbualan sesama teman dan juga komunikasi dengan guru. Masalah pemahaman akan timbul kerana komunikasi menjadi kurang jelas.

Namun kesan yang amat ditakuti adalah penyelewengan bahasa semakin berleluasa dari alam maya ke alam realiti. Jadi dimanakah hendak kita letakkan bahasa Melayu kita? Keracuan terhadap bahasa kita terus berleluasa dan nampak seolah-olah ia tidak dapat dihentikan lagi.


Kalau ditinjau penggunaan bahasa seperti yang di atas amat jelas kepada kita bahawa kedudukan bahasa Melayu kini nampak seolah - olah semakin dianaktirikan oleh pengguna bahasa kita sendiri. Sistem pembakuan bahasa yang telah diterapkan kepada kita sejak lama dulu kini tidak lagi menjadi kebangaan pengguna bahasa.


Sesungguhnya bahasa yang dipaparkan di tempat-tempat awam seperti papan-papan tanda dan papan iklan serta premis perniagaan memancarkan citra dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.

4.4 Implikasi Kepada Generasi Pelapis Negara

Keracuan bahasa merupakan penyakit yang mula tersebar kepada masyarakat dan negara. Bagaimana kita ingin meletakkan bahasa Melayu sabagai bahasa rasmi atau bahasa berbudaya tinggi sedangkan mutu bahasa yang kita perjuangkan mula terabai dek masalah keracuan terhadap bahasa kita.

Soal keracuan bahasa ini sebenarnya bermula dari sistem pendidikan terutamanya disekolah dan institusi pengajian tinggi. Di sini rata-rata penggunanya jarang sekali menggunakan bahasa baku sebagai bahasa biasa ataupun bahasa rasmi. Apabila keadaan ini berlaku maka kita sebenarnya telah gagal melahirkan individu yang memahami bahasa.

Akibat dari kegagalan itu kita akan lahirlah cerdik pandai yang tidak mampu menggunakan bahasa yang betul dengan baik dan berkesan, samada secara lisan ataupun bahasa tulisan. Apabila mereka ini memasuki bidang pekerjaan samada swasta atau kerajaan maka lahirlah pekerja atau pegawai yang tidak dapat menulis atau bertutur dengan baik. Dengan itu disinilah timbulnya penggunaan bahasa yang dicampuradukkan dengan bahasa lain.
4.5 Kemerosotan Penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

Amalan bahasa rojak iaitu mencampuradukkan perkataan Inggeris semasa menggunakan bahasa Melayu merupakan satu gejala yang akan mendatangkan pelbagai kesan negatif. Penggunaan perkataan bahasa Inggeris yang tidak diterjemahkan atau disesuaikan ketika menggunakan bahasa Melayu merupakan tamparan yang hebat kepada pembinaan identiti dan kewibawaan bahasa kita. Tambahan pula ia jelas menunjukkan
pengguna tersebut sememangnya amat rendah atau kurang mahir sehinggakan terpaksa menggunakan bahasa Inggeris bagi mengungkapkan ideanya.Tetapi yang lebih malang lagi keadaan itu tidak pula menunjukkan peningkatan dalam penggunaan bahasa Inggeris.
Inilah yang selalu dikatakan “ Yang dikendung tak dapat, yang dikejar berciciran”.

Apa yang paling ditakutkan ialah gejala ini semakin meluas dan merebak di segenap lapisan masyarakat. Akhirnya menjadikan mutu penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris terus merosot. Sekiranya gejala ini berterusan akan timbullah masalah keberkesanan komunikasi dalam masyarakat yang secara terkumpul menghasilkan suasana salah faham antara penutur. Selain itu ia bukan sahaja akan merendahkan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri. Negara pula akan memiliki satu bangsa yang gagal
berkomunikasi dengan baik. Apabila sesuatu idea atau buah fikiran tidak dapat dijelaskan dengan tepat, maka ia juga akan mencerminkan kegagalan untuk berfikir secara tersusun dan menghalang penerokaan dan percambahan buah fikiran baru.

Gejala ini bukan sahaja berlaku dikalangan penutur yang mempunyai taraf pendidikan yang rendah malahan ia turut menular dengan begitu meluas dikalangan masyarakat yang berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin masyarakat hari ini.

Apabila menjadi amalan seharian mereka untuk bertutur dalam bahasa rojak, ia merebak kepada majlis – majlis rasmi seperti forum, seminar dan program – program dalam media elektronik. Akhirnya mereka akan mendapati sukar untuk menulis atau bertutur tanpa menggunakan bahasa rojak. Selain itu, bahasa rojak juga boleh menjejaskan pembelajaran bahasa Melayu dan Inggeris di peringkat sekolah yang akan mendatangkan kesan negatif untuk jangka masa panjang. Bagaimana kita ingin membina pemimpin pelapis dari sekarang sekiranya mereka sendiri sudah tidak ada jati diri dalam penggunaan bahasa. Bila jiwa sudah lemah dalam sesuatu amalan, maka aspek praktisnya juga turut lemah .

Justeru itu kesedaran seharusnya disemai terhadap penggunaan bahasa yang betul disemua peringkat rasmi dalam masyarakat dan juga dalam kehidupan seharian.



5.0 Cadangan.
Seperti yang telah diwar-warkan tidak lama dulu penggunaan bahasa baku sebagai bahasa perhubungan disekolah kini telah dihentikan atas beberapa alasan . Bagi kita sebagai pengguna bahasa sepatut terus menggunakan bahasa baku ini. Oleh itu diharap agar penggunaan bahasa baku ini diteruskan semula kerana menarik balik atau mengekalkan penggunaan bahasa baku di sekolah tidak akan membawa banyak kesan kepada proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Sebaliknya jika difikirkan kembali, penarikan balik penggunaan bahasa baku di sekolah ini akan menimbulkan lebih banyak permasalahan dalam proses penyampaian ilmu. Justeru itu kita perlukan keseragaman dalam aspek bahasa terutamanya dalam proses penyampaian ilmu. Hal ini penting supaya kita mempunyai paksi rujukan dan mengelakkan kekeliruan terutamanya penggunaan dialek-dialek tempatan yang memberi makna berbeza mengikut tempat.

Selain itu, penggunaan bahasa melayu baku perlu dijana semula . Para pengucapnya mesti dalam keadaan sedar selalu supaya merasa megah dan berasa senang berbahasa Melayu dengan baik.Sekolah, universiti, agensi-agensi Kerajaan, NGO dan kumpukan-kumpulan lain harus bersekutu dan bekerjasama memperjuangkan kembali perkara nasional yang amat penting ini.

Sebenarnya banyak bidang yang boleh terus diperjuangkan antaranya meningkat dan memperhebatkan dasar buku nasional, menerbitkan buku-buku bermutu dan serantau, meningkatkan kerjasama bahasa serantau, mengamalkan dasar cintakan bahasa sastera. Selain itu pihak berkuasa tempatan juga patut menguatkuasakan peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti yang telah termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976. Penguatkuasaan dan pengawasan secara bersepadu oleh semua pihak berwajib untuk memastikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dihormati penggunaannyaseperti di papan iklan, papan perniagaan, nama tempat, nama jalan, nama bangunan dan sebagainya. Selain itu pihak kerajaan juga perlu memastikan penggunaannya dalam surat rasmi, mesyuarat, ucapan, taklimat dan sebagainya

Seungguhnya terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kembali penggunaan bahasa baku yang betul dikalangan pengguna bahasa. Semuanya bergantung kepada kita sebagai penggunanya. Sebagai kesimpulanya pembudayaan bahasa perlu diusahakan secara berterusan.









5.1 Kesimpulan

Keracuan terhadap pembakuan bahasa Melayu sememangnya banyak mendatangkan kesan buruk tehadap pembangunan dan perkembangan sistem pembakuaan bahasa . Walaupun telah banyak usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan juga pihak swasta namun ia tidak akan berhasil sekiranya kita sendiri sebagai pengguna utama bahasa Melayu tidak menggunakan bahasa tersebut dengan betul.

Bagi mereka golongan berpendidikan yang dianggap sebagai pemimpin masyarakat,perlulah mengawal diri dalam menggunakan bahasa supaya mereka sentiasa menggunakan bahasa dengan betul, baik semasa menggunakan bahasa Melayu, bahasa Inggeris ataupun lain - lain bahasa. Sesungguhnya mengelak keracuan bahasa memerlukan disiplin yang tinggi, komitmen dan latihan diri yang bersungguh – sungguh.

Alasan yang mengatakan bahasa Melayu tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu idea atau buah fikiran tidak boleh diterima akal sama sekali. Ini kerana bahasa Melayu sememangnya bersifat terbuka, sanggup dan telah menerima perkataan - perkataan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris bagi menambah dan memantapkan lagi sistem perbendaharaan kata bahasa Melayu.



Justeru itu, disarankan agar kesedaran menggunakan bahasa dengan betul perlulah disemai dari peringkat bawahan lagi terutamanya kepada golongan kanak-kanak yang baru memahami bahasa.

Selain itu, kesedaran ini juga perlu disemai di semua peringkat rasmi penggunaan dalam masyarakat. Dengan itu barulah martabat bahasa Melayu dapat diangkat keperingkat yang lebing tinggi. Semuanya bergantung kepada kesungguhan kita
sebagai penggunanya.

Jika ini dikatakan masalah mentaliti, Ia adalah sesuatu yang sukar diperbetulkan.Tambahan lagi, tatabahasa bahasa Melayu itu sendiri agak sukar dipelajari kerana sistem standard tatabahasa Melayu masik belum kukuh.Sebagai contoh, boleh kah anda membezakan, 'jika, sekiranya,seandainya,andaikata,kalau,' dan menggunakan frasa tersebut sebetulnya.Ini bukanlah kesalahan bahasa Melayu tetapi apa yang harus ditekankan di sini ialah standard tatabahasa yang kukuh itu perlu diwujudkan bagi mengelakkan keracuan penggunaan bahasa Melayu. .
.
Kesimpulannya, bahasa sebenarnya masih belum lagi dihargai sebagai
‘’ jiwa bangsa’’. Pepatah ‘Bahasa Jiwa Bangsa’’ belum sebenar-benarnya dihayati oleh semua orang . .



BIBLIOFRAFI

Awang Sariyan, (2001). Pendidikan Bahasa Melayu di Malaysia: Pemenuhan Suatu Idelisma. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia.

Awang Sariyan. (2002).Ceritera Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia.

Awang Sariyan. ( 2004 ). “ Strategi Memartabatkan Bahasa Melayu’’. Kertas edaran dalam Mesyuarat Memartabatkan Bahasa Melayu, Kementerian Pelajaran, 21 Disember 2004.

Nik Safiah Karim. ( 1992). Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majalah Pelita bahasa Mac 2000. Dewan Bahasa dan Pustaka

Majalah Dewan Budaya November 1999. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zalina Yahya . Petikan Akhbar.’’Bahasa Baku Pastikan Keseragaman Penyampaian Ilmu’’. 5 Januari 2000.
Zalina Yahya. Petikan Akhbar Berita Harian.’’Memasyarakatkan dan Menghayati Sastera Kita’’.3 Jun 2000

0 Komen:

Catat Ulasan

Testimoni Biodisc

BOIKOT YAHUDI

BOIKOT YAHUDI

E-Jariah Mudah dan hebat

contact me

My Social : http://matskai.ning.com

 

©2009  Financial Freedom | Template Blue by TNB